Lebih menakutkan trend pembangunan semasa di negara ini yang nampaknya terlalu fokus kepada pembinaan bangunan pencakar langit sama ada untuk kediaman mahupun pejabat.

Sehubungan itu, pasti lebih ramai penghuni atau pekerja yang akan mendiami serta menggunakan bangunan tinggi yang boleh menjadi perangkap maut tanpa disedari.

Berdasarkan aduan yang kami terima daripada penghuni bangunan tinggi dan bangunan pencakar langit lain, kita berdepan dengan hakikat bahawa sebahagian besar faktor yang menyumbang kepada bencana flat perumahan awam yang berlaku pada 14 Jun di Utara Kensington, London itu sama dengan isu-isu yang dihadapi oleh penghuni bangunan tinggi di negara kita.

Di antara beberapa aduan yang kami terima berkaitan bangunan tinggi di Malaysia setakat ini termasuklah:

* Piawaian keselamatan bangunan tidak dipenuhi

* Pihak pengurusan tidak peduli apabila masalah keselamatan dibangkitkan

* Struktur jeriji menghalang laluan ke anak tangga kecemasan

* Alat pemadam kebakaran dan sistem semburan tidak dibaiki

* Bahan binaan yang digunakan dipercayai bermutu rendah

Apabila kesemua masalah tersebut dikemukakan kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB) iaitu pihak yang bertanggungjawab menangani masalah berhubung pemilikan strata, kami berharap masalah tersebut dapat ditangani tetapi masalah sama masih dihadapi penghuni bangunan tinggi.

Kami mendapati COB sekadar menulis surat amaran, makluman atau peringatan kepada perbadanan pengurusan malah surat-surat itu juga tidak diendahkan pihak terbabit.

Sebarang tindakan lanjutan yang diambil oleh COB turut menerima nasib yang sama seolah-olah tiada rasa takut diambil tindakan undang-undang.

Kepada siapa lagi penghuni bangunan tinggi akan bergantung harap bagi memastikan keselamatan nyawa mereka terjamin jika bukan perbadanan pengurusan dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap pemilikan strata?

Kebanyakan bangunan tinggi kita terutama pangsapuri kos rendah dan sederhana rendah tidak diselenggara dengan baik dan disertai fakta bahawa pihak berkuasa berkenaan tidak mengambil tindakan yang sewajarnya umpama ‘resipi menunggu bencana’.

Jadikanlah insiden Grenfell Tower sebagai satu pengajaran, bukan sahaja kepada pemaju dan kontraktor dalam industri binaan Malaysia malah kepada perbadanan pengurusan dan COB sendiri.

Janganlah mudah berpuas hati dengan tanggapan bahawa insiden seumpamanya tidak mungkin berlaku sedangkan kebakaran bangunan tinggi sudah beberapa kali berlaku di beberapa kota besar.

Jika kejadian tidak disangka itu boleh berlaku di negara yang didakwa negara maju, tidak mustahil tragedi serupa boleh berlaku di Malaysia.

Sehubungan itu, CAP menggesa pihak yang berkenaan agar segera memeriksa dan memastikan semua bangunan tinggi yang terdapat di negara ini memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Sama pentingnya ialah industri binaan perlu menimbang semula obsesinya berhubung pembinaan bangunan pencakar langit apatah lagi dalam satu kawasan padat.

Sudah tiba masanya kita memandang berat dan mengutamakan soal keselamatan penghuni rumah dan pekerja bangunan tinggi berbanding keuntungan mahupun menarik perhatian.

S. M. MOHAMED IDRIS

Presiden CAP