Saya sudah berpengalaman sebanyak tiga kali berdepan dengan suasana sama terperangkap dalam kesesakan jalan raya begitu lama di tempat yang sama.

Dalam kes kemalangan terbaru begitu banyak kenderaan terpaksa berhenti di tepi jalan sehingga melebihi dua belas jam kerana masalah enjin panas, kerosakan dan minyak habis atau tidak mencukupi. Saya juga tidak terkecuali terpaksa berhenti kerana masalah kenderaan sehingga lepas waktu tengah malam untuk menunggu laluan lancar semula.

Setelah menunggu sekian lama selepas waktu tengah malam walaupun keadaan lalu lintas masih belum lancar, ramai yang menunggu sekian lama terpaksa teruskan juga perjalanan. Apa yang saya nak kongsikan ialah keadaan yang terjadi di dalam terowong. Keadaan yang amat bahaya dan berisiko di mana terjadinya kenderaan tidak bergerak dan tiada pihak bertanggungjawab mengawal kenderaan supaya tidak tersekat lama dan tidak bergerak dalam terowong serta dalam keadaan enjin hidup.

Pada pandangan saya, pihak terlibat khususnya PLUS mesti ambil tindakan untuk mengelakkan keadaan demikian berlaku. Bayangkan kalau terlalu lama kenderaan tersekat dalam terowong dalam keadaan enjin hidup sudah pasti mengeluarkan asap, karbon dioksid, karbon monoksid dan gas beracun lain yang membahayakan pengguna jalan raya.

Begitu juga sekiranya ada kenderaan yang habis minyak, enjin panas yang boleh menyebabkan kebakaran tentu memburukkan keadaan. Tidak dapat dibayangkan kalau kebakaran enjin itu bersebelahan lori tangki pembawa bahan api.

Tentunya akan membawa kepada risiko kebakaran yang besar dan menjadi satu malapetaka.

Saya harap permasalahan ini dapat diberi perhatian oleh Menteri Pengangkutan untuk mengarahkan pihak PLUS untuk berbuat sesuatu bagi mengelakkan kenderaan tidak tersekat dengan enjin yang hidup dalam terowong apabila terjadi kemalangan di luar terowong. Semoga tindakan sewajarnya diambil oleh pihak kementerian pengangkutan sama seperti ke atas pemandu merbahaya demi keselamatan bersama pengguna jalan raya.

ZULKIFLI Z ABIDIN
Kuala Lumpur.