Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Elak tragedi berulang

Saudara Pengarang, SAYA cukup sedih apabila membaca laporan akhbar mengenai seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 17, kuarters Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa, Chow Kit, Kuala Lumpur, pada 16 April lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.46 pagi itu, mangsa dipercayai bangun daripada tidur dan memanjat kerusi di balkoni sebelum terjatuh tanpa disedari oleh datuk dan neneknya.

Mangsa ialah cucu kepada seorang pesara anggota bomba yang pernah bertugas di Besut, Terengganu, dan ketika kejadian ibu bapa kanak-kanak itu berada di Institut Jantung Negara (IJN) bagi menjaga kakaknya yang sakit.

Saya difahamkan, kejadian itu bukanlah kali pertama berlaku kerana dua tahun lalu seorang anak anggota bomba turut maut akibat terjatuh dari tingkat empat bangunan berkenaan.

Terdapat pelbagai faktor perkara itu boleh berlaku dan saya mendapati antaranya berpunca daripada kecuaian penghuni kediaman yang meletakkan barangan boleh dipanjat oleh kanak-kanak di balkoni.

Dalam kejadian pada 2016, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah perumahan awam di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, setelah memanjat bakul pakaian yang dibiarkan oleh ibunya selepas menjemur kain.

Dalam pada itu, bagi mengelak kanak-kanak mudah masuk ke balkoni, jeriji yang dipasang pada pintu dan tingkap berdekatan kawasan itu hendaklah diletakkan mangga.

Ini kerana pintu gelongsor untuk ke balkoni kebiasaannya mudah dibuka dari dalam kerana hanya mempunyai selak.

Satu lagi kaedah adalah memasang jeriji berbentuk seperti sangkar pada balkoni. Bagaimanapun, Garis Panduan Pemasangan Jeriji di Kediaman yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat sejak 2004 melarang pemasangan jeriji jenis itu bagi mengelak penghuni terperangkap ketika kebakaran.

Larangan pemasangan jeriji sangkar perlulah dilihat semula dan mungkin penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan jeriji bentuk itu tidak menjadi perangkap maut ketika kebakaran.

Sementara itu, saya ingin menyentuh mengenai keadaan kuarters bomba dan polis yang saya dapati banyak berada dalam keadaan uzur.

Seingat saya, kuarters Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa sudah wujud sejak saya muda lagi. Antara isu yang sering dirungutkan penghuni bangunan itu adalah masalah lif uzur dan dua daripadanya telah diganti baharu pada 2015.

Keadaan kuarters yang sudah berusia dan mempunyai reka bentuk lama menyebabkan kemudahan keselamatan terkini tidak disediakan.

Misalnya, dinding balkoni yang rendah sehingga mudah dipanjat. Selain membina dinding lebih tinggi, satu kaedah yang boleh dicuba adalah untuk memasang jaring di tingkat tertentu bagi mengelak mangsa terus terhempas ke tanah.

Saya masih ingat kejadian pada 2010 di Kanowit, Sarawak, apabila seorang anak penjawat awam berusia empat tahun cedera parah pada kepala selepas dihempap kipas siling lama yang jatuh di kediaman mereka. Kejadian itu membuktikan betapa uzurnya sesetengah kuarters kerajaan.

Kita sepatutnya mencontohi kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan kejadian kanak-kanak terjatuh dari pangsapuri termasuk mensyaratkan ketinggian dinding balkoni sekurang-kurangnya 1.2 meter berbanding standard antarabangsa satu meter.

Syarat lain yang ditetapkan adalah kawasan balkoni perlu dibiarkan kosong dan mempunyai reka bentuk dinding dan palang besi yang tidak mudah dipanjat.

Terdapat garis panduan yang menasihatkan ibu bapa menggunakan kerusi boleh lipat di balkoni yang akan disimpan setelah tidak digunakan. Pasu bunga juga dilarang diletakkan di balkoni kerana akan memudahkan kanak-kanak memanjat.

Tingkap pangsapuri di UAE hanya boleh dibuka pada keluasan maksimum 10 sentimeter bagi mengelak kanak-kanak terjatuh.

Saya tidak pasti sama ada garis panduan sedemikian telah wujud di negara ini. Jika belum ada, sudah sampai masanya perkara itu diperkenalkan.

PESARA KERAJAAN

Rawang, Selangor

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain