Kita biasanya membeli mengikut hawa nafsu, sehinggakan membazir dan makanan tersebut dibiarkan begitu sahaja. Begitu juga membazir duit membeli produk atau peralatan tidak diperlukan.

Ramai orang kini semakin mementingkan wang dan harta benda atau menjadi lebih materialistik. Ini merangsang mereka membeli benda-benda seperti gajet canggih yang hangat di pasaran.

Contoh yang terkini trend memiliki iPhone. Telefon bimbit canggih yang mahal ini tidak begitu berbeza berbanding dengan telefon bimbit biasa tetapi terdapat ramai orang yang sanggup beratur untuk mendapatkannya.

Ada yang terjebak di dalam industri-industri yang tidak bermanfaat dan sebaik sahaja mempunyai wang atau harta, mereka akan serta-merta membazirkannya dalam industri tersebut.

Bak kata pepatah, baru hendak bertunas sudah dipetik, lama-lama matilah pokoknya. Sikap ini membawa banyak kesan negatif kepada semua tidak kira lapisan masyarakat.

Mereka tidak mempunyai aset atau simpanan bagi masa tua, kecemasan atau untuk perkara penting di dalam kehidupan.

Mereka lebih mudah terdedah kepada risiko sekiranya ada kemelesetan ekonomi dan dilanda kesukaran hidup.

Orang ramai harus menjauhi sikap boros ini dalam kehidupan seharian mereka. Dengan belajar untuk lebih berjimat cermat, mereka akan menabung untuk keperluan masa hadapan khususnya untuk kecemasan atau sekadar simpanan hari tua.

Orang ramai juga harus ada kawalan diri yang ketat dan menjadi bertanggungjawab supaya tidak mudah terpengaruh oleh iklan-iklan dan membazir wang begitu sahaja.

AIN SYAHIDDA MOHD KAMAL

Negeri Sembilan