Saya perhatikan ramai dalam kalangan kita yang terlalu mudah dan cepat menyebarkan berita yang belum tentu benar.

Rata-rata nampaknya begitu taksub untuk menjadi yang pertama berkongsi sesuatu berita. Betul atau tidak, lain cerita. Berita-berita sensasi sebegini akan menular dengan cepat sebelum dapat dibuktikan kesahihannya.

Sepatutnya, kita sendiri perlu sentiasa berhati-hati apabila membaca berita terutamanya yang dibaca dalam talian. Periksa sumber untuk menentukan kesahihannya.

Dalam pada itu, saya tertarik dengan usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membangunkan portal sebenarnya.my untuk membanteras penularan berita palsu di laman sosial dan internet.

Ini memudahkan masyarakat menyelidik dan memeriksa terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita sebelum berkongsi dengan keluarga dan rakan-rakan. Tahniah SKMM!

Bagi saya portal itu adalah platform terbaik untuk berbuat demikian. Semoga lebih ramai orang akan memanfaatkan kemudahan itu. Ingatlah selalu slogan portal berkenaan Tidak pasti, jangan kongsi.

SAIFUL ISHAK

Kuala Muda, Kedah