Didapati penyampaian tidak lancar, mungkin individu itu ialah khatib jemputan. Pada hemat saya teknik ini tidak begitu sesuai untuk khutbah.

Khutbah adalah berbeza dengan ceramah. Jika seseorang itu petah dan lancar berceramah disebabkan pengalaman dan bakatnya, tidak semestinya dia petah dalam menyampaikan khutbah.

Sebaik-baiknya, elak menghafal ketika menyampaikan khutbah sebaliknya bacalah teks. Ini lebih sesuai kerana khutbah boleh dianggap sebagai ucapan formal yang penyampaian perlu dibuat secara lebih berhati-hati supaya tidak berlaku kesilapan pada bacaan ayat al-Quran.

Nama dan jawatan pemimpin tertinggi negara semasa membaca doa juga perlu diberi perhatian kerana melibatkan protokol lazim yang harus diikuti.

Sekiranya khutbah disampaikan secara hafalan, terdapat kemungkinan terjadinya salah sebut adalah agak tinggi.

Khutbah secara hafalan juga boleh menyebabkan khatib terlupa sesuatu yang hendak disampaikan, khususnya fakta penting dan untuk mengelakkan penggunaan perkataan tidak sesuai dan sensitif kepada khalayak.

Jika khatib terlupa atau kehabisan idea semasa menyampaikan khutbah secara hafalan, situasi itu boleh mengganggu kelancaran berucap. Jika perkara itu terjadi, jemaah akan hilang tumpuan dan boleh menyebabkan berlaku gelabah dan gementar kepada diri penyampai dan seterusnya boleh menjejaskan kredibiliti khatib.

Memang tidak salah menggunakan cara hafalan tetapi memerlukan beberapa komitmen seperti hendaklah lebih berhati-hati dan berupaya mengatasi unsur-unsur yang boleh menjejaskan kelancaran khutbah.

Sekiranya ingin memilih cara hafalan, penyampai haruslah memiliki tahap kemahiran tinggi serta banyak pengalaman. Jadi bagi mereka yang kurang pengalaman ditugaskan menjadi khatib perlulah banyak latihan, penelitian dan pemerhatian.

Dalam pada itu, khatib tidak harus mengabaikan rukun tertentu dalam khutbah seperti memuji Allah, selawat atas Nabi Muhammad SAW, menyuruh bertakwa, membaca ayat al-Quran dan berdoa (khusus pada khutbah kedua).

Sekiranya tidak memenuhi kelima-lima rukun khutbah itu dan beberapa syarat lain dengan sendirinya khutbah berkenaan tidak sah.

Elakkan juga menyelit khutbah dengan unsur-unsur humor untuk menggeletek hati khalayak pendengar sepertimana yang dibolehkan ketika berceramah. Khutbah mesti serius, padat, ringkas dan berterus terang.

SALLEH SAAD

Kedah