Dalam kejadian kira-kira pukul 5.34 pagi itu, ejen hartanah, Lim Ah Kok, 53, isterinya, Goh Bee Khim, 52, dan dua anak lelaki mereka, Lim Yong Liang, 20, serta Lim Yong Wei, 17, maut kerana terhidu asap tebal.

Daripada temu bual pihak akhbar dengan jiran-jiran, terdapat dua sebab diberikan yang menyukarkan mereka menyelamatkan mangsa iaitu jeriji pintu dan tingkap yang dipasang mati serta pintu pagar automatik kediaman itu tidak boleh dibuka dari luar.

Berikutan isu berkenaan, saya berharap kerajaan mewajibkan pemilik rumah mematuhi Garis Panduan Pemasangan Jeriji di Kediaman yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat sejak 2004.

Walaupun garis panduan itu sudah lama dikeluarkan, tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan pemilik kediaman dikenakan hukuman denda dan penjara jika tidak mematuhi arahan bomba.

Sebab itu, kes kematian akibat terperangkap semasa kebakaran adalah lumrah di negara ini. Mangsa yang terperangkap hanya memiliki 60 saat sahaja untuk keluar dari situasi itu bagi mengelak mereka lemas kerana terhidu asap atau terbakar sampai mati.

Amat menyedihkan apabila mangsa menjerit-jerit meminta pertolongan sebelum menghadapi kematian, tetapi orang ramai tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan jeriji dipasang mati pada tingkap mahupun pintu.

Alangkah hiba sekali selepas kebakaran dapat dipadamkan didapati mayat mangsa yang terperangkap tadi berada berhampiran pintu atau tingkap yang telah dipasang jeriji. Jika tiada jeriji atau kemudahan itu boleh dibuka mungkin mangsa dapat diselamatkan.

Satu lagi keburukan jeriji dipasang mati adalah apabila bomba memotongnya untuk masuk ke dalam bangunan, bahagian yang dipotong menjadi sangat tajam, panas dan susah dilihat dalam asap tebal.

Anggota bomba dan mangsa yang terperangkap di dalam bangunan terdedah kepada risiko kecederaan ketika bergegas keluar dari tempat yang dipotong tadi.

Dalam pada itu, punca utama pemilik kediaman menggunakan jeriji dipasang mati kerana perkara utama yang terlintas dalam fikiran apabila menerima kunci rumah baharu adalah untuk menyelamat harta benda daripada kecurian sedangkan kemudahan itu mempunyai keburukan sebagai perangkap maut ketika kebakaran.

Rata-rata pemilik kediaman tidak terfikir pun mengenai bahaya ketika kebakaran kerana kurang didedahkan dengan kempen-kempen kesedaran mengenai perkara itu. Api tatkala kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan. Api memang tidak mengenal darjat penghuni kediaman berkenaan.

Saya yang telah mendiami rumah sendiri sejak tujuh tahun lalu, tidak pernah didedahkan dengan kempen kesedaran sedemikian sama ada oleh pihak bomba, badan pengurusan bersama (JMB) atau persatuan penduduk.

Untuk mengelak kejadian itu daripada terus berlaku, pemilik rumah mempunyai beberapa pilihan termasuk memasang jeriji yang boleh diletakkan mangga.

Bagaimanapun, kemudahan jenis itu juga mempunyai keburukan kerana semasa kebakaran, mangsa boleh menjadi panik sehingga tidak dapat mengingati tempat kunci mangga disimpan.

Kaedah paling selamat adalah memasang jeriji mempunyai selak yang boleh dibuka daripada dalam rumah dengan mudah. Sehubungan itu kerajaan perlu mewajibkan pemasangan kemudahan jenis itu sahaja.

Saya juga berharap pihak bomba mengeluarkan satu garis panduan pemasangan pintu pagar automatik agar kemudahan itu tidak menyukarkan kerja-kerja menyelamat ketika kebakaran.

Kepada semua pemilik kediaman, anda harus mengadakan perbincangan dengan keluarga mengenai pelan menyelamatkan diri daripada kebakaran di rumah.

Pastikan seluruh ahli keluarga mengetahui apa yang perlu dibuat jika berlaku kebakaran. Adakan latihan amali bila ada masa lapang supaya perkara itu sentiasa berada dalam ingatan semua ahli keluarga.

PESARA KERAJAAN

Rawang, Selangor