Komen-komen negatif ini reda sedikit hasil penjelasan daripada rakan-rakan Allahyarham yang banyak membantu menyalurkan derma bagi pihak Jamaluddin sejak sekian lama sehingga selepas beliau meninggal dunia dalam kemalangan helikopter pada 2015.

Allahyarham bukannya berasal daripada dinasti politik, anak jutawan mahupun waris kerabat malah sudah menjadi jurutera dan kaya-raya sebelum menyertai dunia politik lagi.

Kerja amal beliau dijalankan secara tersembunyi dan hanya didedahkan oleh rakan-rakan selepas tragedi kemalangan helikopter tersebut.

Isunya bukan harta mahupun sikap dermawan Allahyarham.

Sebaliknya kenyataan kurang ajar orang ramai dan juga ahli politik mempertikai dan menghina orang yang telah meninggal dunia.

Baik atau buruk, orang yang sudah meninggal dunia tidak boleh mempertahankan diri.

Tidak adil untuk sesiapa sekali pun mempersoal, menuduh atau menghukum.

Lihat bagaimana nama mendiang Karpal Singh tidak dihina, dipersoal atau cuba dihukum selepas beliau meninggal dunia dalam kemalangan pada 2014.

Perkara yang sudah itu biarkanlah berlalu sebagai menghormati orang yang sudah ‘pergi’.

Teguran ini khusus buat parti dan ahli politik.

Janganlah bermain politik sampai menggunakan nama orang yang sudah meninggal dunia.

Biarlah mereka ‘berehat’ dengan aman dan menjawab sendiri perihal dosa pahala masing-masing.

Fikirkan tentang diri sendiri yang lambat-laun pasti menyusul sama. Adakah anda mahu orang lain mempersendakan dan mempersoal sebegitu sehinggakan ahli keluarga terpaksa menanggung rasa malu, sedih dan marah? Ingat, setiap perbuatan ada balasannya.

VETERAN POLITIK

Ampang