Begitupun, kita harus sedar bahawa kemalangan di sekolah boleh menyebabkan kematian seperti yang berlaku ke atas seorang pelajar perempuan apabila kepalanya terkena bilah pemotong rumput di padang sekolah di Gemas, Negeri Sembilan, pada 13 Februari lalu.

Kemalangan terutama yang boleh membawa maut sebenarnya boleh dicegah asalkan pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya. Oleh itu, disyorkan agar pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalinkan kerjasama dengan pentadbiran sekolah untuk melakukan audit keselamatan secara menyeluruh di semua sekolah seluruh negara.

Sebaik-baiknya audit dilakukan setiap lima tahun sekali di sekolah baharu, manakala audit di sekolah lama dilakukan setiap tahun. Selain itu, sekolah yang mempunyai lebih 40 orang pekerja perlu menubuhkan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan seperti diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan pula akan terus mewujudkan kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam kalangan warga sekolah.

Pembabitan guru dan pelajar dalam Program KKP di sekolah amat penting terutama bagi mengenal pasti langkah-langkah pencegahan kemalangan serta kematian. Sejak 2015, lebih 50 sekolah telah menyertai program anjuran Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan itu.

Program KKP di sekolah mampu memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan setiap warganya di tempat kerja; melindungi orang lain yang turut berada di tempat kerja dan menyediakan persekitaran kerja yang kondusif sesuai dengan keperluan psikologi dan fisiologi pekerja.
Sekolah selamat tidak hanya bermakna bebas daripada masalah disiplin dan jenayah lain seperti buli, gengsterisme dan penyalahgunaan dadah tetapi turut membabitkan persekitaran serta kemudahannya yang selamat.

TAN SRI LEE LAM THYE


Pengerusi NIOSH