Tidak dinafikan, kejahilan menguruskan kewangan selain gagal mengenal pasti keperluan utama termasuk bermewah-mewahan dalam perbelanjaan antara faktor sebahagian besar penjawat awam terutama golongan muda muflis.

Trend menunjukkan golongan terbabit didapati melakukan pelbagai pinjaman peribadi daripada beberapa institusi kewangan yang melebihi kemampuan gaji mereka. Malah ada kalangan mereka terdesak bertindak memalsukan slip gaji ketika membuat pinjaman.

Tidak dinafikan, ketiadaan sistem yang mengawal pinjaman penjawat awam juga antara punca mereka membuat pinjaman melebihi kemampuan dan melakukan pinjaman bertindih.

Apatah lagi ketika ini, kerajaan memberi peluang kepada lebih 20 agensi pinjaman membuat potongan gaji kepada penjawat awam melaksanakan pinjaman tanpa perlu merujuk antara satu sama lain. Bak orang mengantuk disorongkan bantal, kemudahan seumpama itu memberi peluang kepada golongan terbabit untuk memenuhi nafsu dalam berbelanja.

Berpegangkan prinsip biar papa asalkan bergaya, trend suka memiliki kenderaan mewah, majlis perkahwinan gah dan glamor seperti selebriti dikenal pasti antara punca yang ‘menjerut’ leher mereka dengan hutang keliling pinggang.

Memetik laporan sebuah akhbar tempatan, lebih 100,000 individu diisytihar muflis. Paling ramai dalam kalangan berusia 35 ke 44 tahun yang mewakili 35 peratus, diikuti lingkungan usia 25 hingga 34 tahun serta 45 hingga 54 tahun (masing-masing 20 peratus). Peratusan itu dibuat dari 2010 sehingga April 2015.

Direkodkan sebanyak 28 peratus kes bankrap adalah disebabkan pinjaman peribadi, hutang sewa beli kenderaan (25 peratus), pinjaman perumahan (13 peratus) manakala hutang kad kredit dan pinjaman perniagaan masing-masing sekitar sembilan peratus. Biasiswa dan pinjaman pelajaran hanya meliputi sebahagian kecil punca muflis iaitu 0.002 peratus.

Bercakap tentang muflis ini, saya sendiri berpengalaman melihat segelintir masyarakat hari ini khususnya penjawat awam muda yang tidak mahu kalah mengadakan majlis perkahwinan mewah tanpa mempedulikan kesan jangka masa panjang yang perlu ditanggung. Keutamaan mereka ialah mengikut trend selain mahu saling membandingkan perkahwinan siapa lebih gah.

Masalah hutang yang melibatkan pasangan muda yang baharu berkahwin semakin serius apabila masalah kewangan dikenal pasti punca perceraian mereka. Masalah sudah timbul sejak awal perkahwinan setelah mereka terikat dengan beban hutang yang semakin banyak dan berterusan lebih-lebih lagi setelah membeli kediaman dan kereta serta beranak-pinak.

Isu muflis ini jika tidak ditangani boleh memberi kesan bukan sahaja kepada masyarakat tetapi juga negara. Seperti kita tahu, Akta Kebankrapan 1967 di Malaysia memberi kuasa keterlaluan kepada pihak bank untuk menghukum individu muflis sehingga boleh memusnahkan hidup mereka.

Di bawah undang-undang muflis, ada banyak syarat yang mengikat si muflis seperti tidak boleh berniaga sendiri, tidak boleh terima wang lebih RM500 daripada orang lain (dikehendaki melapor kepada Jabatan Insolvensi Malaysia), tidak boleh ke luar negara bekerja (pasport disekat), tidak dapat memegang jawatan tinggi di syarikat dan lain-lain. Ini semua memang akan menyekat seseorang muflis mendapat wang untuk pelepasan.

NIK NOR ATIKAH MD. DAUD

Nilai, Negeri Sembilan