Menurut laporan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) baru-baru ini, sebanyak 15,000 tan metrik makanan sehari dibuang oleh rakyat Malaysia dan 3,000 tan metrik daripadanya adalah makanan masih elok yang tidak sepatutnya dibuang.

Pembaziran oleh rakyat Malaysia ini adalah amat membimbangkan. Hal ini kerana tabiat buruk itu boleh menjadi salah satu punca kepada penghasilan gas rumah hijau yang akan menyumbang kepada pemanasan global. Tidak hairanlah cuaca di Malaysia sekarang ini tidak menentu.

Malahan, hal itu sangat memberi kesan kepada kewangan negara dengan peruntukan kerajaan untuk pengurusan sisa pepejal pada 2017 sahaja melebihi RM2 bilion.

Oleh yang demikian, kerajaan telah mengambil inisiatif meningkatkan kesedaran supaya tidak membazir melalui kempen MYSaveFood yang dilancarkan pada 2016 untuk mengurangkan kadar pembuangan makanan di negara ini.

Jika kita lihat dari perspektif Islam pula, membazir adalah amalan yang sangat ditegah. Sering kali kita mendengar peringatan bahawa membazir itu amalan syaitan, tetapi nasihat itu tidak dipedulikan oleh kebanyakan umat Islam.

Di dalam al-Quran, Allah SWT ada menyebut tentang membazir di dalam surah Al-Isra’ ayat 27 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Oleh itu, kita hendaklah menjauhi sifat membazir kerana tabiat itu bukan sahaja amalan syaitan malah akan merugikan diri sendiri. Bukan hanya membazir ketika makan sahaja, bahkan elakkan juga membuang masa, wang, air dan sebagainya.

Dalam masa sama, betapa ramainya lagi umat manusia di seluruh dunia tidak dapat merasai nikmat makanan dek kerana kesusahan yang dialami oleh masyarakat itu sendiri contohnya seperti rakyat di Yemen yang masih berdepan dengan masalah kebuluran.

Lihat sahaja di Malaysia, masih ada lagi golongan miskin, gelandangan dan anak yatim piatu yang masih mengharapkan bantuan makanan daripada orang ramai. Sikap segelintir masyarakat yang kurang prihatin serta tidak mengamalkan sikap berjimat cermat ketika berbelanja membawa kepada peningkatan jumlah pembaziran makanan pada setiap tahun.

Elakkan perbelanjaan mengikut hawa nafsu kerana akan menyebabkan berlakunya lebihan makanan yang akhirnya terpaksa dibuang kerana tidak habis dimakan.

Justeru, berbelanjalah dengan bijak dan mengikut kemampuan diri sendiri. Kadangkala, rezeki kita perlu dikongsi bersama orang lain yang lebih memerlukan supaya kita dapat merasai kesusahan yang mereka alami.

NUR ATIQAH HERRUDIN

Negeri Sembilan