Ramai yang tidak mengetahui bahawa dalam industri makanan terdapat beberapa sistem keselamatan dan jaminan kualiti makanan.

Kebanyakan sistem yang diwujudkan berdasarkan kepada piawaian antarabangsa sebagai langkah untuk melindungi orang ramai daripada bahaya kesihatan yang berpunca daripada makanan serta penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penyimpanan makanan.

Pada asasnya, sesebuah premis makanan boleh bermula dengan membangunkan sistem Amalan Pengilangan Baik (GMP). Skop amalan ini merangkumi lokasi, reka bentuk dan kemudahan premis seperti kemudahan penyimpanan bahan mentah serta peralatan dan kawalan pemprosesan makanan, makhluk perosak serta bahan buangan makanan sehingga pengurusan pekerja serta pelawat.

Premis makanan yang mempunyai GMP akan memudahkan pengilang untuk membangunkan sistem jaminan kualiti berlainan seperti Sistem Analisis Bahaya Titik Kawalan Kritikal (HACCP), Sistem Pengurusan Kualiti (ISO serta Sistem Jaminan Halal (HAS).

Pengilang yang telah mempunyai sistem HACCP lazimnya akan dianugerahkan dengan ISO 22000 iaitu Sistem Pengurusan Keselamatan Makanan.

Pada tahun 2012, Kementerian Kesihatan telah memperkenalkan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) iaitu skim keselamatan makanan yang direka khusus untuk membantu pengusaha kecil dan sederhana (PKS) tempatan mematuhi keperluan kebersihan dan keselamatan makanan.

Dengan adanya Skim MeSTI, PKS boleh menjadikan skim ini sebagai batu loncatan untuk mendapatkan logo Halal Malaysia serta membangunkan sistem jaminan keselamatan makanan antarabangsa lain.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan juga telah memperkenalkan satu bentuk pengiktirafan BeSS atau ‘Bersih, Selamat dan Sihat’ untuk menggalakkan pengusaha menyediakan makanan yang selamat dan sihat.

Oleh itu, mereka yang terlibat dalam penyediaan atau pengilangan makanan daripada premis kecil sehingga industri besar semestinya bertanggungjawab untuk memastikan bahawa makanan yang dihasilkan adalah selamat dan berkualiti untuk kegunaan pengguna.

DR. NUR HUDA FAUJAN

Pensyarah Universiti 
Sains Islam Malaysia (USIM).