Secara purata, mata kita terpaku ke telefon pintar selama tiga jam 15 minit sehari. Berhubung tentang isu ini cuba kita merenung ungkapan Baroness Susan Greenfield dalam buku beliau, ‘Mind Change’

Dalam buku tersebut beliau berkata:”Nilai kemanusiaan kini makin berkurangan, kita jarang bersemuka.” Beliau mengungkap kata-kata ini bagi menjelaskan bagaimana era digital telah mengubah pemikiran kita.

Albert Einstein seorang tokoh bidang sains dikatakan telah meramalkan fenomena ini melalui kata-kata ini:“Saya takut teknologi akan mengatasi interaksi manusia. Dunia akan mempunyai generasi bodoh.” Soalnya sekarang, adakah ramalan Einstein betul?

Ramai ahli sejarah mempertikaikan kenyataan Einstein ini tetapi secara realitinya cuba lihat di sekeliling kita. Di mana-mana sahaja akan kelihatan manusia asyik menatap telefon pintar sama ada makan di luar bersama keluarga, di stesen pengangkutan awam mahupun di tempat kerja. Hampir semua mereka asyik dengan telefon pintar masing-masing.

Tidak kurang anak kecil yang diberikan gajet untuk membolehkan mereka tidak merengek. Tidak ketinggalan warga tua turut terjebak dengan aktiviti ini. Dengan kata mudah, sesiapa sahaja tidak terlepas menjadi mangsa telefon pintar.

Perubahan ini tidak boleh dinafikan dan itulah hakikat yang berlaku. Sebab itu saya sering terfikir tentang keperluan kita untuk menatap telefon pintar pada setiap saat? Seolah-olah dunia ini hanya kita dan gajet.

Cuba perhatikan di mana-mana, manusia seolah-olah tidak dapat memisahkan diri masing-masing dengan gajet elektronik ini. Disebabkan keasyikan itu, mereka gagal menikmati keadaan sekeliling dan paling malang interaksi secara bersemuka semakin berkurangan.

Tidak keterlaluan dikatakan era digital ini menyebabkan kita menjadi antisosial. Disebabkan terlalu obses dengan gajet ini juga, kita gagal menghayati kehidupan, seni dan alam semesta. Semuanya ini bukan lagi menjadi keutamaan.

Dari segi jantina, wanita dikatakan menggunakan telefon pintar lebih daripada lelaki iaitu secara puratanya 23 minit untuk tempoh sehari. Dari segi umur pula, pengguna yang berusia di antara 18 hingga 24 tahun akan menghabiskan masa secara purata empat jam 20 minit sehari menggunakan telefon pintar mereka.

Mereka yang berusia melebihi 55 tahun penggunaan secara purata ialah selama dua jam 15 minit sehari. Oleh itu tidak hairanlah di mana-mana sahaja kita berada sama ada bercuti di persekitaran yang paling mempesonakan atau sedang menikmati hidangan paling lazat bersama keluarga bunyi ‘ping’ untuk memaklumkan isyarat mesej baharu adalah lebih indah daripada segala-galanya.

Satu perkara lagi, tahukah anda apabila seseorang itu tidak boleh tidur, sebahagian besar daripada mereka akan mencapai telefon pintar. Alangkah baik jika di saat itu kita penuhi masa untuk membaca ayat suci al-Quran mahupun hadis-hadis Rasulullah.

Bayangkan jika sebahagian daripada jumlah keseluruhan masa kita menatap telefon pintar ini (dalam tempoh sehari) digunakan untuk membaca ayat-ayat al-Quran, hadis atau sekurang-kurangnya berzikir sudah tentu amalan-amalan ini memberi kesan kepada kita terutama dalam usaha menjadi seorang Muslim yang baik.

Sememangnya untuk melakukan perkara-perkara yang baik adalah sesuatu yang amat sukar berbanding jika kita melakukan perbuatan buruk serta sia-sia. Dalam perkembangan berkaitan kita tahu bahawa ketagihan itu adalah satu perkara yang dahsyat tetapi sebelum menjadi lebih teruk lagi, lebih baik kita kembali kepada fitrah kehidupan seorang manusia.

Berinteraksi dan berbuallah secara bersemuka kerana dengan cara ini sahaja ikatan silaturahim akan terjalin. Bukan maksud saya untuk melarang menggunakan telefon pintar tetapi biarlah secara sederhana dan berpada-pada.

AZIZI AHMAD

Segambut Luar, Kuala Lumpur