Kebakaran itu merebak dengan cepat disebabkan lapisan pada dinding luar bangunan dipercayai diperbuat daripada bahan tidak mematuhi spesifikasi.

Media massa ada melaporkan bahan digunakan adalah jenis polyethylene sama seperti dipasang di Menara Grenfell, London, yang terbakar dan menyebabkan 71 mangsa terbunuh tahun lalu.

CAP pernah menulis surat kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat berhubung isu ini dan pihak berkenaan memberi maklum balas dengan menyatakan semua bangunan di Malaysia mematuhi Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL 1984).

UBBL 1984 menyatakan bahan digunakan pada bahagian luar bangunan mestilah tidak mudah terbakar atau kelas O. Jika benar peraturan itu telah dipatuhi sepertimana yang diberitahu oleh pihak berkuasa maka insiden kebakaran di bangunan KWSP tidak akan berlaku.

Sehubungan itu, pihak kami menggesa bomba menjalankan pemeriksaan mandatori di seluruh negara terhadap semua bangunan tinggi untuk memastikan bahawa peraturan itu dipatuhi.

UBBL 1984 mestilah dipinda untuk menyatakan dengan khusus jenis-jenis bahan mudah terbakar yang tidak boleh dipasang pada dinding luar bangunan.

Dalam pada itu, tindakan tegas mestilah diambil terhadap semua pihak yang membenarkan bahan mudah terbakar digunakan dalam projek pengubahsuaian bangunan. Selain itu, UBBL 1984 perlu diwartakan di semua negeri di Malaysia.

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden CAP