Isu politik adalah isu kompleks yang hanya sesuai diceburi golongan dewasa yang mempunyai tahap pemikiran matang. Sedangkan kanak-kanak adalah golongan yang tidak memiliki tahap pemahaman dan kematangan tinggi untuk memahami sesuatu isu atau perkara sensitif seperti politik.

Terdapat juga kerisauan golongan kanak-kanak ini menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai tujuan atau agenda tertentu. Turut dibimbangi akan menjejaskan tumpuan proses pembelajaran kanak-kanak berkenaan dan boleh mengganggu keseimbangan mental serta psikologi golongan terbabit. Salah satu cara bagi melindungi kanak-kanak daripada dipengaruhi politik adalah melalui proses undang-undang.

Aspek perundangan mengenai perlindungan terhadap kanak-kanak dan remaja adalah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). Walaupun sudah terdapat pelbagai jenis peruntukan bagi melindungi golongan bawah umur dalam Akta 611 ini, namun ia dilihat masih tidak mencukupi dalam melindungi golongan terbabit khususnya dalam soal pengaruh politik keterlaluan.

Oleh demikian, pihak kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan satu peruntukan lebih jelas dalam Akta 611 ini bagi tujuan melindungi golongan kanak-kanak daripada dipengaruhi sentimen politik secara keterlaluan serta menyediakan satu bentuk hukuman keras terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan itu.

Kewujudan peruntukan khas itu adalah penting supaya semua pihak jelas mengenai isu ini serta mengambil berat soal melindungi golongan kanak-kanak daripada terdedah dengan mana-mana pengaruh politik keterlaluan yang boleh menjejaskan kestabilan minda serta psikologi mereka.

DR. MUZAFFAR
 SYAH MALLOW
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)