Di pejabat juga ramai dalam kalangan kita yang sibuk membaca e-mel bagi mengetahui apakah arahan terbaharu daripada pihak atasan atau sebarang aduan daripada pelanggan yang memerlukan maklum balas segera daripada pihak kita.

Kadang-kadang kerana e-mel yang diterima terlalu banyak menyebabkan ada yang membuat keputusan tidak membacanya.

Alasan yang sering diberikan adalah kalau asyik membuka dan membaca e-mel, kerja dan tugasan hakiki tidak akan siap.

Situasi berkenaan membuktikan cabaran terbesar dihadapi masyarakat sekarang bukanlah untuk mendapatkan maklumat tetapi menolaknya agar kita tidak menerima maklumat berlebihan.

Mungkin ada pihak menyifatkan mereka yang enggan membaca e-mel atau tidak kerap menatap skrin telefon sebagai pemalas, tetapi hakikatnya itulah yang terbaik kerana seseorang itu perlu memberikan ruang dan masa kepada diri sendiri untuk berfikir.

Situasi ini adalah amat diperlukan terutama dalam kalangan yang terbabit dengan kerjaya kreatif seperti penulis, pelukis dan mereka yang perlu menjana idea-idea baharu.

Jika kita tidak menyendiri dalam tempoh tertentu atau membiarkan diri terus diganggu secara berpanjangan, maka kita tiada ruang untuk berfikir dan melakukan muhasabah.

Muhasabah diri amat perlu bagi membolehkan kita mengenal pasti tindakan dan sikap yang perlu dibuat pembetulan.

Ingatlah jika kita terjebak dalam situasi terlalu ‘sibuk’ maka sudah tiba masanya untuk berhenti dan berehat seketika.

AZIZI AHMAD

Kuala Lumpur