Masni yang bersendirian dalam perjalanan pulang ke rumahnya dikatakan pada awalnya mengekori sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Bagaimanapun, kenderaan di hadapannya yang membelah arus dikatakan berhenti secara tiba-tiba menyebabkan laluan kereta Perodua Myvi dipandunya terdedah kepada arus deras.

Arus deras air yang melintasi jalan itu mulai menghanyutkan kereta yang dipandu Masni ke dalam parit yang kedalaman dianggarkan lebih dua meter sehingga mangsa akhirnya mati lemas.

Kejadian sedih itu sudah pasti sukar dilupakan suami mangsa, Ahmad Ruzaidi Mahmood, 46, memandangkan semasa kejadian, Masni sempat menghubungi suaminya dalam keadaan cemas meminta tolong apabila keretanya sudah tidak dapat dikawal dan perlahan-lahan dihanyutkan ke dalam parit.

Apabila tiba di tempat kejadian, Ahmad Ruzaidi, gagal menyelamatkan Masni walaupun berusaha memecahkan cermin tingkap kereta itu yang telah tenggelam.

Saya berharap semua pihak mengambil iktibar daripada tragedi berkenaan dengan memperbaiki segala kelemahan yang masih wujud. Pihak berkuasa khususnya di peringkat negeri perlu mengkaji prosedur operasi standard (SOP) ketika banjir kerana banyak persoalan yang ditimbulkan pelbagai pihak ekoran tragedi yang cukup menyedihkan berkenaan.

Pertama, ada pihak yang mempertikaikan kenapa pihak berkuasa membenarkan kenderaan kecil melalui jalan yang telah ditenggelami banjir.

Walaupun suami mangsa mengakui laluan kenderaan isterinya adalah jalan pintas dan bukan jalan raya utama, perkara itu tidak harus dijadikan alasan untuk pihak berkuasa tidak meletakkan anggota polis, bomba dan lain-lain untuk memantau keadaan.

Jika pihak berkuasa negeri menghadapi masalah kekurangan anggota untuk melakukan pemantauan dan mengadakan sekatan jalan raya, sekurang-kurangnya diletak tanda amaran melarang kenderaan kecil melalui laluan berkenaan.

Perlu juga diletakkan di situ tiang penanda aras air yang menunjukkan paras semasa banjir.

Kerjasama daripada penduduk tempatan juga seharusnya diminta bagi membolehkan mereka menjadi sukarelawan untuk memantau jalan pintas yang ditenggelami banjir bagi mengelak dilalui kenderaan kecil.

Kedua, kejadian banjir yang melanda Terengganu bukanlah perkara baharu kerana bencana itu sering berlaku setiap kali musim tengkujuh. Yang menjadi kemusykilan saya adakah penduduk benar-benar arif mengenai prosedur keselamatan yang harus dipatuhi mereka ketika banjir.

Saya bimbang, bencana itu dianggap perkara lumrah sehingga penduduk mengambil mudah soal keselamatan diri masing-masing.

Seperti dalam kes ini, mangsa telah menghubungi suaminya. Sepatutnya, prosedur yang betul mengikut risalah Panduan Menghadapi Bencana yang diedarkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, mangsa banjir perlu segera menghubungi agensi berkaitan seperti polis dan bomba.

Setiap detik yang berlalu adalah cukup berharga dan nyawa boleh melayang jika bantuan lewat tiba.

Risalah panduan itu turut menasihatkan pemandu supaya sentiasa berwaspada ketika memandu pada musim banjir dan gunakan laluan selamat yang telah dikenal pasti.

Apabila pemandu kenderaan melihat jalan raya ditenggelami banjir yang dalam hendaklah berpatah balik. Kaedah paling senang untuk mengetahui jalan raya boleh dilalui atau tidak adalah untuk memastikan air tidak naik melebihi daripada separuh tayar kereta.

Selalunya banjir boleh lagi diharungi jika tidak melebihi paras berkenaan. Gunakan gear rendah (selalunya gear dua) dan jangan tukar gear atau tekan pedal klac semasa mengharungi air. Terus tekan pedal minyak sehingga melepasi banjir.

Sekiranya, air naik lebih daripada separuh tayar, enjin boleh mati dengan tiba-tiba. Sekiranya enjin mati, segeralah keluar dari kereta dan beredar ke tempat lebih selamat.

HAJI JAMIL

Rawang, Selangor