Perkara itu bukan sahaja melibatkan bahasa Melayu, sebaliknya turut membabitkan bahasa-bahasa lain termasuk bahasa Inggeris.

Dalam bahasa Inggeris, perkataan information dipendekkan menjadi info dan television diringkaskan kepada tv sahaja.

Sementara itu, bagi bahasa Melayu, khususnya membabitkan urusan tidak rasmi, terdapat banyak perkataan singkatan dengan menggugurkan huruf-huruf tertentu seperti c2 bagi merujuk perkataan situ dan cni yang bermaksud sini.

Antara punca fenomena berkenaan berlaku kerana pengguna ingin berkomunikasi dengan pantas dalam media sosial. Perkataan singkatan juga dapat menjimatkan ruang terutamanya apabila melibatkan aplikasi seperti WhatsApp yang mengehadkan bilangan perkataan boleh dihantar.

Fenomena itu akan memberikan kesan negatif kepada masyarakat dan boleh mengelirukan pelajar yang perlu menggunakan tatabahasa dan ejaan betul ketika menjawab soalan peperiksaan.

Terdapat kemungkinan maklumat yang disampaikan tidak difahami golongan tertentu seperti warga tua yang kurang terdedah dengan perkataan singkatan.

Justeru, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu mengadakan kempen untuk menggalakkan orang ramai menggunakan bahasa baku ketika berkomunikasi.

Para pelajar juga perlu diberi pemahaman mengenai perkataan singkatan yang tidak boleh digunakan ketika menjawab soalan peperiksaan.

Perkataan singkatan hanya boleh digunakan dalam situasi tidak formal tetapi perlu dikurangkan. Kita perlu menjaga mutu bahasa Melayu sepanjang masa selaras dengan slogan Bahasa Jiwa Bangsa.

NOR FARAHHAIDA 
ABD. RASHID

Universiti Sains 
Islam Malaysia (USIM)