Berita kematian S. Sathirawan, 15, selepas ditimpa kerusi yang dibuang dari tingkat atas Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam sekitar pukul 8 malam, 15 Januari lalu mengejutkan, malah amat menggerunkan kerana potensi kejadian serupa berulang kelak.

‘Sampah terbang’ menjadi antara masalah besar dalam kalangan penduduk rumah pangsapuri kerana pasti ada penghuni yang mengambil jalan mudah membuang sampah, cuma bilangannya sedikit atau ramai.

Sebelum ini cuma cermin kereta yang pecah disebabkan sampah dicampak dari tingkat atas tetapi kali ini kepala seorang remaja pula pecah.

Saya yakin kehilangan nyawa ini tidak mampu menghentikan tabiat mencampak sampah dari tingkat atas bangunan.

Satu tindakan drastik perlu diambil pihak berkuasa kerana proses perundangan sahaja cara terbaik mencegah tabiat buruk ini.

Ada pihak mencadangkan memasang sistem jaring-jaring pada setiap tingkat khusus kawasan yang berpotensi menjadi lokasi mencampak objek atau sampah.

Bagaimanapun, cubaan di beberapa lokasi menunjukkan sistem ini gagal menghalang tabiat buruk ini dan hanya menjadi tempat sampah bertakung dan lebih sukar dicuci.

Saya ingin mencadangkan sistem kamera litar tertutup (CCTV) dipasang pada kedudukan strategik untuk mengekang aktiviti ‘sampah terbang’ di samping memudahkan pihak berwajib mengesan dan mengenalpasti individu yang masih tidak mahu berubah.

Seperti kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang berjaya mengawal tabiat memandu laju di lebuh raya, kira-kira empat kamera CCTV yang dipasang tinggi pada empat sudut bangunan pangsapuri cukup untuk merakam aktiviti membuang sampah.

Kamera CCTV itu juga dapat memantau tahap keselamatan serta aktiviti tidak sihat dan jenayah dalam kawasan pangsapuri tersebut.

Tragedi terbaharu ini mengingatkan saya kepada penemuan mayat bayi baru lahir yang ‘terbang’ dari tingkat atas Pangsapuri Sentul Utara pada 1 Jun 2011 sehinggakan kepalanya pecah.

Kejadian sama berulang pada 29 Februari 2016 apabila bayi yang lahir tidak cukup bulan dicampak dari tingkat 18 Flat Danau Kota.

Ketiga-tiga kes melibatkan kehilangan nyawa cuma bezanya dua kes bayi dibuang seperti sampah sementara mendiang Sathirawan maut disebabkan ‘sampah terbang’.

Jika ada sistem CCTV yang memantau, saya yakin bukan sahaja sampah malah bayi malang juga akan berhenti ‘terbang’ dari tingkat atas pangsapuri.

Saya harap pembunuh mendiang Sathirawan segera dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua penghuni bangunan tinggi agar jangan mengambil jalan mudah kerana sikap malas mereka mungkin meragut nyawa orang lain.

WARGA PPR

Kuala Lumpur