Salah satu daripada perlakuan anda dapat perhatikan adalah gangguan atau salah laku yang tidak akan berlaku terhadap keluarga atau adik-beradik sendiri.

Gangguan juga tidak akan berlaku terhadap orang lain seperti pelayan di tempat makan kegemaran anda.

Tetapi apabila melihat rakan sekerja yang dianggap lemah dan tidak diminati, mereka menjadi penuh dengan prejudis yang melampau sehingga hilang kawalan diri.

Pemikiran jahat itu kemudian diterjemahkan melalui tindakan penghinaan terhadap mangsa.

Salah seorang rakan di tempat kerja saya pernah menceritakan bahawa dia diganggu sejak hari pertama bertemu dengan ‘pengganggu utama’ yang kelihatannya tidak suka kepadanya.

Rakan saya pernah membangkitkan isu ini kepada pihak atasan tetapi tidak mendapat perhatian dan dilayan. Apabila ‘pengganggunya’ mengetahui apa yang dilakukannya, maka bermulalah kejadian lebih teruk umpama ‘neraka’ bermula.

Kemungkinan juga ramai ‘pengganggu’ yang tidak senang ini merupakan sejenis dengan mereka terutama dari kumpulan ‘pengurusan dan pentadbiran’ yang tidak profesional. Sikap pilih kasih atau berat sebelah dan tidak berlaku adil biasanya akan berlaku dan menghilangkan rasa hormat dalam kalangan rakan tempat kerja.

Mereka yang menjadi mangsa akan menjadi ‘terbungkam’. Cubaan secara bijaksana untuk membuktikan kes sebenar dan membongkar kejadian berniat jahat akan dirasakan.

Apabila berlakunya sesuatu kes atau insiden, kebiasaannya mangsa akan dipanggil oleh ‘ketua’ dan perbualan atau perbincangan akan kelihatan baik tetapi sering seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena kerana melibatkan ‘kumpulan kroni’.

Walaupun si ketua akan cuba untuk meyakinkan mangsa bahawa tidak akan ada sesiapa mengetahui apa dibincangkan tetapi biasanya ia bukanlah perbincangan yang telus, ikhlas dan jujur.

Biasanya dalam mesyuarat pengurusan bagi menyelesaikan isu dan masalah, si ketua sebaliknya akan memaklumkan dan mengadu tentang ‘masalah’ yang dicipta oleh si mangsa dan seperti ‘tidak dapat bekerja bersama’ dengan mangsa.

Bahkan tanpa berselindung akan mencadangkan kepada pihak pengurusan agar mereka yang dikatakan tidak boleh bekerjasama atau tidak puas hati, ‘boleh keluar bila-bila masa’ dan organisasi akan beroperasi tanpa mereka.

Mereka yang dikatakan ‘berkuasa’ boleh membuat keputusan mengejutkan walaupun semua orang dapat melihat dengan jelas kesan yang merugikan. Digabungkan dengan pilih kasih, adalah tidak menghairankan mengapa penindasan boleh berkembang dan penyebabnya terhindar daripada hukuman.

Mangsa akan disingkirkan dari pasukan dan ditukar ke jabatan atau unit lain; pengganggu pula akan menjadi hebat pada mata pengurusan atasan. Pengganggu atau pelaku turut disyorkan untuk anugerah seterusnya bersesuaian dengan tindakan beliau dinaikkan ke kedudukan lebih hebat.

Hakikatnya, sama ada anda sedar atau tidak, yang tetap rugi dan teraniaya adalah rakan saya. Oleh itu, kita mesti berani dan bersuara.

Pelaku, tidak kira apa kedudukan atau jawatan mesti dipertanggungjawabkan dan diambil tindakan. Tetapi mangsa, tentunya letih, dimalukan dan lemah semangat mereka. Mereka telah digunakan dan ditutup kemudahan dan peluang.

AZIZI AHMAD

Kuala Lumpur