Justifikasi yang diberikan adalah kadar faedah sebanyak RM500 juta setahun agak membebankan dan tidak mampu ditanggung negara. Namun begitu, adalah diharapkan agar kerajaan sudi menimbangkan untuk melantik kontraktor baharu daripada firma pembinaan tempatan bagi meneruskan projek ini pada skala yang lebih kecil.

Semasa ECRL diumumkan dahulu, rakyat Pantai Timur termasuk yang bekerja di Lembah Kelang berasa amat teruja dengan projek ini kerana bakal berpeluang menikmati kemudahan kereta api setanding Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) di Pantai Barat. Ribuan penduduk setempat terlibat secara langsung dengan projek ECRL sebagai kontraktor, 
pekerja dan pelatih latihan industri.

Tidak hanya itu, ramai peniaga membuka kedai makanan berhampiran lokasi pembinaan turut meraih manfaat ekoran peningkatan jumlah pelanggan yang terdiri daripada pekerja pembinaan, namun sudah tentu ramai yang akan terkesan jika projek itu dibatalkan akibat kehilangan peluang pekerjaan dan perniagaan.

Berbanding dengan projek Transit Aliran Massa laluan tiga (MRT3) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang berdepan dengan tindakan pembatalan dan penangguhan, kerja-kerja pembinaan ECRL telah pun bermula dan mencapai kemajuan melebihi 14 peratus sebelum arahan penggantungan pada Julai 2018.

Kerja-kerja membina laluan masuk ke kawasan pembinaan, kem-kem induk dan satelit yang mengandungi pejabat tapak dan kuarters pekerja telah pun siap dibina di beberapa lokasi seperti Tunjong, Kampung Raja, Kuala Nerus dan Bentong. Kerja-kerja awal untuk pengorekan terowong juga sudah bermula di Dungun dan Kuantan.

Kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang memberi kerjasama sepenuhnya dalam proses pengambilan tanah agar kerja pembinaan dapat berjalan dengan lancar, malah tidak hairan Menteri Besar Terengganu sendiri beberapa kali mengeluarkan kenyataan meminta agar kerajaan pusat meneruskan sahaja projek itu supaya usaha sebelumnya tidak menjadi sia-sia.

Kos pembinaan ECRL dapat dikurangkan jika laluan jajaran asal diubah agar tidak perlu melalui kawasan pergunungan dari Bentong ke Gombak yang memerlukan kerja-kerja pengorekan terowong. Untuk itu, saya mencadangkan agar landasan ECRL menggunakan spesifikasi tolok meter sama seperti landasan kereta api yang dioperasikan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berbanding tolok standard.

Akhir sekali, adalah satu kerugian membatalkan ECRL dan membiarkan tapak projek pembinaan terbengkalai begitu sahaja setelah kerajaan terpaksa membayar ganti rugi kepada kontraktor asal.

M. FAISAL

Kuala Lumpur