Amalan sebelum ini, pesakit diberi salinan preskripsi ubat setelah dirawat doktor namun pengecualian itu kini diberi sekiranya bekalan ubat perlu diberikan secara berperingkat-peringkat mengikut jadual ditetapkan.

Pelaksanaan e-preskripsi ubat itu mungkin suatu langkah baik dan berkesan dari segi penjimatan masa, tetapi dalam keadaan tertentu, ia masih ada kelemahan. Masalah timbul apabila bekalan ubat kehabisan stok, doktor terlupa memasukkan ubat dalam senarai preskripsi disediakan atau ubat diberi memberi side effect teruk.

Jika keadaan itu berlaku, pihak farmasi akan mengarahkan pesakit agar mendapatkan semula preskripsi untuk ubat gantian atau ubat baru. Hal ini tentu menyusahkan pesakit yang terpaksa kembali semula ke klinik pakar dan melalui beberapa peraturan dan prosedur termasuk mendaftar semula untuk masuk ke dalam sistem online dan menunggu giliran!

Pada akhirnya urusan tersebut terpaksa ditangguhkan ke hari lain kerana kekangan masa. Ia disebabkan jarak bangunan yang menempatkan klinik pakar dan farmasi serta waktu operasi yang berbeza. Andai amalan sebelum ini dipraktikkan, pesakit boleh memberi senarai preskripsi ubat terkini kepada pihak farmasi jika diperlukan pada bila-bila masa.

Masalah tidak begitu terasa jika pesakit luar tinggal berhampiran dengan PPUM. Bagaimana dengan mereka yang tinggal jauh dan perlu menaiki pengangkutan awam serta warga emas dan Orang Kelainan Upaya?

Bagi pesakit ulangan yang perlu mengambil ubat secara tetap pula berkemungkinan terpaksa mendapatkan bekalan ubat sementara daripada pihak farmasi swasta yang harga ubatnya tentu berlipat kali ganda.

Sehubungan itu, saya mencadangkan agar diwujudkan satu peraturan baharu yang membolehkan Ketua Pegawai Farmasi, dalam keadaan tertentu diberi kuasa khas untuk menentukan ubat gantian bagi meringankan kesusahan ditanggung pesakit-pesakit luar akibat kerenah birokrasi atau diwujudkan apa sahaja peraturan yang mesra pengguna.

PESAKIT PRIHATIN

Puchong, Selangor