Kali ini melibatkan struktur jejambat menghubungkan KL Eco City ke pusat beli-belah Mid Valley di Kuala Lumpur, yang runtuh ketika sedang dalam pembinaan.

Kejadian mengorbankan seorang pekerja warga asing dan menyebabkan lima yang lain cedera adalah amat menyedihkan.

Saya mengalu-alukan tindakan Kementerian Kerja Raya menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat punca kejadian runtuhan itu.

Adalah amat penting untuk kita mengetahui sama ada runtuhan itu berpunca daripada kegagalan struktur, kualiti kerja ketika pemasangan, masalah reka bentuk atau kecuaian ketika melaksanakan prosedur keselamatan.

Berdasarkan statistik kemalangan yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), terdapat peningkatan kes kemalangan maut di sektor pembinaan.

Sehingga September 2016, sejumlah 55 kes direkodkan berbanding hanya 50 kes sepanjang tempoh sama pada 2015.

Justeru, saya menyarankan agar tindakan lebih drastik diambil oleh semua pihak di sektor pembinaan bagi mengelakkan kejadian sedemikian berulang.

Saya mencadangkan agar penilaian risiko keselamatan dibuat bagi setiap proses pembinaan. Bermula dengan reka bentuk struktur bangunan, pemilihan bahan, pemasangan, prosedur keselamatan dan aktiviti-aktiviti lain. Ini adalah untuk memastikan keselamatan pekerja dan orang awam turut terjamin.

Apabila sesuatu kemalangan berlaku di tempat kerja, impak kepada pelbagai pihak adalah amat besar. Imej syarikat yang melaksanakan projek pembinaan akan terjejas, kepercayaan masyarakat terhadap tahap keselamatan di tapak pembinaan akan menurun manakala keluarga mangsa akan bersedih dan hilang tempat bergantung.

TAN SRI LEE LAM THYE

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)