SAYA ingin mengulas cadangan pengarah filem, Raja Mukhris Raja Kamarudin, baru-baru ini, supaya Radio Televisyen Malaysia (RTM) bekerjasama dengan pihak luar dalam pembikinan drama diterbitkan oleh stesen kerajaan itu.

Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam industri berkenaan, beliau sedar bahawa drama terbitan stesen televisyen itu masih terdapat kekurangan terutama dari aspek teknikal seperti visual, grafik dan audio.

Pandangan beliau itu hampir sama dengan pendapat seorang lagi pengarah filem, U-Wei Saari, supaya RTM mengubah struktur dan budaya penerbitan drama yang telah berusia lebih 70 tahun, yang dianggap beliau sudah lapuk.

Pendapat kedua-dua pengarah filem berkenaan wajar diteliti sejajar dengan hakikat RTM perlu membaiki segala kelemahan dalamannya sebelum boleh dijadikan sumber rujukan pelbagai pihak.

Tidak salah untuk RTM memberi tumpuan menaik taraf kualiti drama terbitan stesen itu dan pada masa sama kekal menyiarkan rancangan mengandungi mesej dasar kerajaan yang tidak dibuat oleh stesen televisyen swasta.

Saya yakin RTM mampu menjadi pemimpin dalam industri penerbitan drama di Malaysia kerana rancangan yang diterbitkan stesen itu sebelum ini mempunyai jalan cerita dan mesej lebih baik berbanding diterbitkan stesen swasta.

Tidak perlulah RTM meniru stesen swasta yang menerbitkan rancangan yang bertujuan melayan nafsu dan cita rasa penonton.

RTM tidak perlu menggunakan kaedah itu bagi mengatasi stesen swasta terbabit dari segi bilangan penonton.

Perkara itu adalah tidak perlu kerana RTM mempunyai tanggungjawab sosial untuk mendidik dan membentuk masyarakat yang berinovasi serta kreatif berlandaskan dasar-dasar kerajaan.

Dengan kata lain, RTM patut menjadi pemimpin dalam industri drama yang bertujuan mendidik masyarakat supaya menjadi penonton yang menghargai seni kreatif bermutu tinggi dan bukannya karya picisan atau yang dipengaruhi budaya popular sahaja.

Bagaimanapun, mampukah RTM menjadi pemimpin dalam industri drama negara dengan kandungan lebih patriotik dan sarat dengan mesej berguna?

Saya yakin langkah itu boleh dibuat sekiranya pegawai di Unit Drama RTM menggunakan kepakaran mereka bagi memilih skrip terbaik yang dihasilkan penulis dari seluruh negara.

Pada masa sama, pegawai RTM harus bekerjasama dengan pihak luar bagi meningkatkan mutu visual, audio dan grafik drama terbitan stesen berkenaan.

Antaranya, dengan mewu­judkan jurukamera, pelukis grafik dan juruaudio khusus untuk penerbitan drama.

Pada masa sekarang, penerbit drama terpaksa mendapatkan khidmat jurukamera, pelukis grafik dan juruaudio yang memiliki kemahiran umum dan asas sahaja.

Mereka ini turut melaksanakan tugas secara guna sama untuk program berita, rencana, siaran langsung dan sukan.

RAMLY YUSOFF

Putrajaya