UMNO perlu sedar, kestabilan dan kekukuhan Barisan Nasional (BN) sekian lama adalah kerana dominasi dan pengaruh UMNO yang kuat berbanding parti komponen lain seperti MCA dan MIC. Maknanya, kestabilan dan kukuhnya BN sebagai sebuah kerajaan yang mentadbir negara adalah kerana kekuatan UMNO dalam kerajaan melalui dasar-dasarnya yang penuh toleransi dan kesederhanaan.

Memahami realiti ini, UMNO perlu memikirkan apakah dominasi yang sama akan terus dinikmati jika pakatan politik UMNO-Pas ini berjaya membawa kedua-duanya ke Putrajaya kelak?

Melihat kepada sikap Pas yang begitu tegar dan keras dalam memperjuangkan agenda politik Islam mengikut versinya sejak sekian lama, selain akan wujud kebergantungan tinggi UMNO terhadap Pas dalam memastikan kelangsungan pakatan itu, saya berpandangan dominasi UMNO seperti dalam BN tidak akan wujud lagi. Seterusnya, ia akan mempengaruhi dasar dan pendekatan kerajaan yang dibentuk.

Walaupun Pas dan UMNO adalah parti berteraskan Melayu-Islam, perlu diingatkan juga bahawa kedua-duanya tidak berkongsi rasa persamaan dalam memahami Islam. Itulah yang berlaku sekian lama dan tidak dapat dinafikan sesiapa pun.

Subjek agama ini begitu sensitif terhadap perbezaan walaupun sekecil zarah selain boleh memupuk ketaksuban dalam usaha mempertahankan kefahaman masing-masing. Ia akan kekal sebegitu jika wujud mana-mana pihak dalam pakatan itu yang kekal tidak memilih jalan tengah, bersederhana dan bersulamkan toleransi tinggi sebagai cara menangani perbezaan dan menyelesaikan masalah.

Tiada pakatan, persatuan, gabungan mahu pun kumpulan yang mampu kekal dalam kerjasama sebegini, akhirnya membawa kepada perpecahan dan tuduhan ditipu atau dikhianati akan berulang.

UMNO dan BN bukan seperti Pakatan Harapan (PH) yang tidak serius dalam mentadbir negara. PH dibentuk oleh parti komponen yang tidak jelas bahkan bertentangan hala tujunya. Ini pasti akan memberi kesan kepada dasar-dasar kerajaan itu kelak.

Majoriti 50 kerusi Parlimen masih mahukan UMNO kekal dengan perjuangan asalnya kerana jika tidak, mereka sudah tentu memilih parti-parti di bawah PH atau Pas untuk satu bentuk perjuangan Melayu baharu. Hakikat ini perlu disedari oleh kepemimpinan UMNO kerana penyokong-penyokong UMNO bukan sahaja mahukan UMNO yang menjadi kerajaan bahkan UMNO yang mendominasi pentadbiran negara.

Pengemis Soh

Bangsar, Kuala Lumpur