GERAKAN membantu etnik Rohingya di Bangladesh dan Myanmar oleh misi Food Flotilla for Myanmar dengan menggunakan kapal Nautical Ali­ya boleh disifatkan sebagai satu lambang betapa pekanya rakyat negara ini terhadap penderitaan yang dialami oleh etnik tersebut di dua negara berkenaan.

Dengan membawa 230 sukarelawan termasuk sekumpulan doktor serta 2,200 tan makanan dan ubat-ubatan, tujuan misi tersebut hanyalah untuk membantu etnik Rohingya yang menderita akibat perbuatan kejam daripada pihak junta tentera Myamnar.

Mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan fahaman politik bergabung tenaga untuk menjayakan misi tersebut.

Difahamkan misi yang diketuai oleh Presiden Kelab Putera 1Malaysia itu (KP1M), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim terpaksa menghadapi beberapa cabaran dan terkini kapal Nautical Aliya tidak dibenarkan berlabuh di Teknaf, Bangladesh atas faktor-faktor keselamatan.

Bagaimanapun saya amat yakin dan percaya Abdul Azeez, para sukarelawan, kru kapal dan kumpulan wartawan yang menyertai misi tersebut tidak akan berputus asa sebaliknya menjadi setiap cabaran itu sebagai pembakar semangat kepada mereka untuk meneruskan misi penghantaran bantuan kepada etnik Rohingya khususnya di Myanmar.

Saya sebenarnya agak terkejut apabila membaca laporan akhbar tentang keputusan kerajaan Bangladesh yang enggan membenarkan kapal tersebut berlabuh di Teknaf.

Seperti mana kenyataan Kementerian Luar sepatutnya Bangladesh mematuhi keputusan yang telah dibuat pada 3 Februari lalu iaitu membenarkan kapal berkenaan berlabuh di Teknaf.

Tujuannya bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada pelarian Rohingya di Bangladesh. Selain makanan, rawatan kesihatan juga adalah antara bantuan yang amat diperlukan oleh pelarian Rohingya di negara berkenaan.

Setakat ini saya tidak pasti apakah status terkini tetapi kita semua telah dimaklumkan kapal Nautical Aliya sedang dalam pelayaran ke Yangon sambil diiringi oleh kapal peronda Tentera Laut Myanmar.

Diharap semuanya berjalan seperti dijadualkan dan yang paling penting kita perlu sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar segala rancangan untuk membantu etnik Rohingya yang selama ini sudah cukup menderita ini akhirnya berjaya. Sesungguhnya Allah SWT adalah sebaik-baik perancang. Hanya Dia yang akan menentukan kejayaan misi ini.

Saya juga percaya rakyat negara ini teringin untuk melihat rakaman video mahupun foto di saat-saat bantuan yang menjadi lambang keprihatinan rakyat Malaysia itu disampaikan kepada saudara seislam kita di sana.

Dalam perkembangan berkaitan saya juga ingin mengesyorkan agar setiap surau dan masjid menunaikan solat hajat khusus untuk kejayaan misi ini. Sesungguhnya juga doa adalah senjata terbaik bagi umat Islam dan senjata itu perlu digunakan dengan sebaik-baiknya demi meringankan beban saudara-saudara Rohingya kita di Myanmar.

Ada juga yang berpandangan penderitaan yang ditanggung oleh etnik Rohingya itu adalah ujian untuk seluruh umat Islam di mana-mana iaitu sejauh mana kita sebagai saudara seagama prihatin dengan nasib yang menimpa mereka.

Alhamdulillah, berdasarkan pengamatan saya majoriti umat Islam serta rakyat negara ini begitu prihatin tentang penderitaan yang dialami oleh etnik Rohingya. Kerajaan kita juga sentiasa mengambil berat tentang isu ini.

Nota daripada Kementerian Luar yang mendesak kerajaan Bangladesh memberikan kerjasama kepada misi tersebut dengan membenarkan kapal Nautical Aliya berlabuh di Teknaf juga adalah bukti komitmen kerajaan untuk memastikan nasib etnik Rohingya terbela.

Saya juga tidak menafikan di sebalik isu Rohingya itu wujud beberapa hikmah antaranya kejayaan mempertemukan pemimpin utama UMNO dengan Pas atas satu pentas demi menyatakan sokongan bersama membela nasib etnik tersebut.

Saya percaya ini juga adalah impian besar umat Islam di negara kita iaitu untuk melihat parti yang berlatar belakang Islam dan Melayu berpadu dan itulah hakikat yang berlaku.

Umum mengetahui sebelum penghantaran misi Food Flotilla for Myanmar 3 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah bersama-sama menjayakan Himpunan Solida­riti Ummah Untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa, 4 Disember tahun lalu.

Semuanya untuk menyatakan pendirian betapa Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan kejam kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya.

PAK YA

Bandar Baru Bangi