Berdasarkan laporan media pesawat mengalami gegaran ketika berada pada ketinggian 11,582 meter. Saya percaya sebagai seorang juruterbang yang berpengalaman dan berpegang teguh dengan ajaran Islam beliau bertanggungjawab untuk berikhtiar dalam apa cara sekalipun di saat-saat genting termasuk memohon keselamatan daripada Allah SWT melalui berdoa.

Sebagai seorang Muslim dan mukmin tidak salah bagi beliau untuk meminta kerjasama daripada setiap penumpang untuk turut sama berdoa agar pesawat tersebut akhirnya diberikan perlindungan oleh Allah daripada sebarang kecelakaan.

Walaupun bukan semua dalam pesawat itu beragama Islam, namun mereka juga faham tentang saranan doa yang diminta oleh juruterbang tersebut. Berhubung dengan peristiwa ini saya dimaklumkan terdapat satu catatan yang dibuat oleh salah seorang penumpang Australia berusia 15 tahun yang memuji ketenangan juruterbang tersebut.

Antara lain catatan itu memberitahu doa yang disarankan juruterbang itu lebih bersifat menenangkan memandangkan keadaan ketika itu agak mencemaskan. Paling penting, juruterbang berkenaan berjaya mengawal keadaan melalui suaranya yang cukup meyakinkan.

Berbalik kepada berdoa, amalan tersebut amat dituntut oleh Islam. Malah Rasulullah SAW menggalakkan kita sentiasa berdoa kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan sama ada susah mahupun senang.

Doa sebenarnya adalah senjata bagi umat Islam. Doa juga adalah satu ibadah seperti mana yang pernah disebut oleh Rasulullah SAW dalam satu hadis baginda: “Doa adalah ibadah.” Hadis ini telah diriwayatkan oleh Abu Daud dan at-Tirmizi.

Dalam satu hadis lain Rasulullah SAW bersabda: “Tiada ada suatu yang lebih mulia di sisi Allah Taala melainkan doa.” Hadis ini pula telah diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan Ibnu Majah.

Jelas yang kedua-dua hadis tersebut memberi penekanan tentang peri pentingnya kita untuk berdoa serta kedudukan amalan ini di sisi Allah SWT. Oleh itu wajib kita menjadikan doa ini sebagai amalan seharian.

Semua pihak harus sedar bahawa doa ini akan mendekatkan lagi hubungan antara hamba dengan Penciptanya. Oleh itu janganlah sesekali mana-mana pihak cuba mempertikaikan kepada mereka yang menganjurkan kepada sesiapa untuk berdoa.

Rasulullah SAW sendiri adalah seorang rasul, nabi serta hamba yang amat banyak berdoa. Malah banyak hadis khususnya dalam kitab-kitab hadis yang muktabar menyebut teks-teks doa yang sering dibaca oleh Rasulullah SAW dan kemudian doa itu diajar kepada para sahabat.

Dalam surah Al-Baqarah ayat 186 Allah SWT berfirman: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahulah kepada mereka ) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permintaan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.”

Dalam pada itu berdoa juga tidak semestinya ketika selepas solat sahaja. Bahkan dalam sebarang waktu, tempat dan keadaan lebih-lebih lagi dalam keadaan sukar kita digalakkan berdoa. Berdoa juga adalah tanda perhambaan kita terhadap kebesaran Allah SWT.

Berhubung perkara membabitkan doa ini saya juga tertarik dengan cadangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang mengesyorkan agar semua syarikat penerbangan tempatan membaca doa sebelum memulakan penerbangan.

Jangan kita lupa doa ini boleh juga disifatkan sebagai salah satu ikhtiar memohon kepada Allah agar penerbangan atau perjalanan akhirnya selamat ke destinasi.

SALLEH SAAD

Kepala Batas, Pulau Pinang