Di Kelantan pula berlaku Bah Kuning pada 2014 yang dikatakan telah memadam rekod Bah Merah pada 1967.

Banjir besar yang melanda negeri itu pada 2014 itu telah mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa yang amat dahsyat sekali. Ini adalah akibat sikap manusia yang tidak mempedulikan hak alam sekitar yang sepatutnya dipenuhi.

Antara isu lain yang tidak kurang penting dan perlu diberi perhatian oleh masyarakat adalah pembuangan sisa pepejal termasuk beg plastik.

Kempen mengurangkan penggunaan beg plastik ketika membeli-belah di kedai runcit atau pasar raya dengan membawa beg sendiri telah membuka mata banyak pihak betapa usaha kecil itu mampu memberikan impak besar jika dilakukan oleh semua rakyat.

Kajian ahli sains menunjukkan bahawa beg plastik yang diperbuat daripada polimer hidrokarbon mengambil masa 500 hingga 1,000 tahun untuk diuraikan.

Penggunaan bioplastik iaitu plastik yang boleh terurai pula bukan penyelesaian kerana hanya menjadi cebisan kecil dalam jangka masa tertentu dan akan terurai jika didedahkan pada suhu tinggi.

Banyak negeri telah mengenakan caj sebanyak 20 sen untuk setiap beg plastik yang digunakan untuk meletakkan barang-barang yang dibeli dan dimaklumkan bahawa hasil penjualan beg itu akan digunakan oleh peruncit untuk menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) khususnya aktiviti memelihara alam sekitar.

Kerajaan Selangor contohnya, telah menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik di semua pasar raya dan mendapat reaksi positif serta negatif daripada penduduk negeri tersebut.

Persoalannya, benarkah peruncit menggunakan wang itu untuk aktiviti CSR. Adakah usaha itu dipantau oleh pihak berwajib?

Tidak dinafikan bahawa kempen bebas plastik berkenaan mampu memberikan kesedaran kepada pengguna dan boleh mengurangkan penggunaan beg plastik tetapi langkah itu juga membolehkan peruncit mengaut keuntungan mudah.

Satu pendekatan lain yang saya fikir boleh memberikan lebih impak adalah kempen memberikan potongan harga sebanyak 20 sen kepada pelanggan yang membawa beg kitar semula untuk mengisi barangan mereka sendiri.

Sudah menjadi kebiasaan, pengguna akan lebih teruja dan berminat dengan diskaun. Kaedah itu akan lebih menggalakkan pelanggan untuk membawa beg kitar semula kerana inginkan potongan harga tersebut.

Semestinya, penyelesaian yang terbaik untuk isu itu adalah dengan tidak menggunakan beg plastik langsung kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Namun inisiatif yang dilakukan oleh beberapa negeri dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik patut dipuji dan rakyat perlu memberi sokongan sepenuhnya untuk memastikan kempen itu berjaya walaupun umum mengetahui untuk mengubah tabiat yang telah sebati mengambil masa lama.

Diharap dengan pemberian diskaun 20 sen itu akan memberikan impak yang lebih besar dalam usaha mengurangkan beg plastik dan seterusnya memelihara alam sekitar.

MOHD. HASBI MOHAMAD

Universiti Kebangsaan 
Malaysia (UKM)