Sebelum membuat pilihan, sudah tentu banyak faktor yang perlu dipertimbangkan seperti reputasi akademik, lokasi pusat pengajian, kos pengajian, minat mendalam terhadap sesuatu jurusan serta kebolehpasaran graduan setelah tamat pengajian kelak.

Bak kata orang, jika tersilap memilih menyesal dikemudian hari. Oleh yang demikian pelajar seharusnya peka dan bersiap sedia dengan perancangan menjejakkan kaki ke universiti tidak kira di peringkat pra-universiti, matrikulasi atau diploma.

Yang menjadi kerisauan adalah pelajar yang berada di aras pertengahan dan rendah kerana besar kemungkinan mereka sukar mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam(IPTA), sekali gus menutup peluang melanju pengajian dalam bidang diminati.

Menurut JobStreet.com melalui sebuah kaji selidiknya, Job Outlook 2019, sebanyak 96 % majikan berminat menawar pekerjaan kepada pencari kerja yang mempunyai bakat kemahiran digital selaras dengan peralihan ke arah digital.

Dengan sebahagian besar organisasi yang sedang mengadaptasi teknologi masa hadapan, 43 % daripada majikan yang sedang memulakan perjalanan transformasi digital ingin mengembangkan bakat mereka dengan mengupah bakat mahir untuk memacu pertumbuhan perniagaan khususnya dalam bidang IT, perkomputeran, pemasaran digital dan Penyelidikan & Pembangunan (R&D).

Selaras dengan Revolusi Industri 4.0, cabaran bukan terletak pada majikan tetapi juga kepada bakal graduan yang ingin mencari kerja. Bakal mahasiswa perlu lebih terbuka dan fleksibel memilih jurusan, bukan memohon jurusan popular 10 tahun lepas dan tidak lagi relevan pada waktu ini.

Apa yang penting, setiap pelajar mesti meneroka kelebihan masing-masing dan tidak bergantung kepada keputusan cemerlang sahaja. Seorang pelajar boleh dianggap cemerlang sekiranya mereka dapat mengimbangi keputusan peperiksaan, soft skills, serta akidah yang baik.

Majikan kini lebih berminat dan menghargai pekerja mempunyai soft skills seperti kemahiran menyelesai masalah, komunikasi, keupayaan bekerja secara bebas, kesediaan belajar benda baharu dan kebolehan bekerja di bawah tekanan.

Luangkan masa hadir ke Karnival Pendidikan Tinggi Negara, ekspo pendidikan serta banyak lagi hari terbuka dianjur Jabatan Pengajian Tinggi atau institusi pengajian bagi mendapat maklumat terperinci bidang pengajian dan khidmat nasihat berkaitan.

Memilih jurusan pengajian betul mungkin kelihatan remeh bagi sesetengah golongan, tetapi percayalah pilihan yang anda buat sekarang bakal membuka jalan lebih baik untuk kehidupan di masa hadapan.

NADIA ZALIKHASAIFULIZAM,

Pensyarah UiTM, Pasir Gudang, Johor.