Ini bermakna tiada siapa pun boleh menghina atau melakukan perbuatan seumpamanya terhadap agama dan budaya kaum lain dengan sewenang-wenangnya. Selain kedua-dua perkara itu, ada lagi yang kedudukannya turut terjamin oleh Perlembagaan iaitu kedudukan institusi raja-raja Melayu yang diwarisi sejak sekian lama.

Ini bermakna sesuatu yang berkaitan dengan institusi diraja, agama, bahasa, kaum adalah antara perkara yang dilindungi sebaik-baiknya oleh Perlembagaan dan dikira sangat sensitif untuk dipersendakan. Penghinaan sama ada menerusi perbuatan, perkataan, tulisan, lukisan dan seumpamanya telah dijelaskan dalam beberapa peruntukan undang-undang atau akta-akta tertentu seperti Akta Hasutan.

Sewajarnya semua rakyat perlu tahu dan sedar tentang wujudnya undang-undang sedemikian supaya dapat mengawal emosi mereka serta mengelak daripada tercetusnya kelakuan yang menunjukkan ‘menghina’ perkara-perkara tersebut.

Antara kaedah terbaik bagi rakyat tahu dan sedar akan adanya undang-undang berkenaan ialah menerusi hebahan umum dan pengiklanan dalam media massa serta papan iklan yang diletakkan di tempat tertentu supaya dapat dibaca dan menjadi peringatan. Sebagaimana kita sedia maklum, tingkah laku dan sikap terbentuk menerusi maklumat yang ada pada dirinya. Maklumat itu juga ada kebarangkalian boleh hilang, oleh itu penghebahan atau pemberitahuan sesuatu maklumat perlulah bersifat berterusan, bukan bermusim.

Sehubungan ini saya berpendapat, eloklah sekiranya kerajaan adakan program kempen kesedaran mengenai beberapa isu tertentu yang boleh diklasifikasikan sebagai isu-isu sensitif ‘berkelas tinggi’ menggunakan saluran-saluran komunikasi tertentu seperti media massa, papan iklan, komunikasi bersemuka, poster dan sebagainya.

Biarlah orang ramai tanpa mengira siapa dan di mana mereka berada dapat mengetahui perkara tersebut serta implikasi undang-undang jika melakukannya. Kesedaran mengenai perkara tersebut sangat penting supaya kejadian seperti penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW baru-baru ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan.

Selaku sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum dan etnik, agama, adat resam dan lain-lain, perpaduan dan persefahaman terhadap satu sama lain baik dari segi keturunan, kebudayaan, adat resam dan agama adalah sangat perlu. Maka sebagai rakyat, kita perlu bersama-sama memelihara keharmonian antara satu sama lain demi keselamatan dan ketenteraman negara.

SALLEH SAAD

Sungai Petani