Walau bagaimanapun, satu trend atau budaya baru muncul dengan sesetengah calon yang menang dalam PRU-14 mengisytiharkan keluar parti diwakili mereka ketika bertanding dahulu.

Ini terutama sekali dari kalangan parti yang kalah. Banyak alasan yang diberi untuk berbuat demikian termasuk tidak ada keyakinan kepada pucuk pimpinan, mahu menjadi calon bebas daripada ikatan kepartian dan sebagainya.

Walau apa pun alasan yang diberi, wakil rakyat yang keluar parti harus ingat bahawa disebabkan nama mereka dicalonkan untuk mewakili sesuatu kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), ada calon lain yang tidak disenaraikan.

Mereka semua adalah calon pilihan parti. Rakyat yang mengundi biasanya akan mengundi parti dahulu, calonnya kemudian. Kertas undi terang dan nyata meletakkan nama calon dan parti yang diwakili.

Kesemua calon yang menang adalah calon yang dipilih rakyat untuk mewakili parti mereka. Sekiranya mereka mahu keluar parti dan bertindak menjadi ahli parlimen atau ADUN bebas, mereka sepatutnya meletakkan jawatan dan bertanding semula atas tiket bebas.

Itu pun jika mereka mempunyai jati diri yang kukuh dan percaya bahawa mereka dipilih di atas nama sendiri dan bukannya atas nama parti.

Adalah amat mengecewakan bagi kami pengundi kawasan Parlimen Masjid Tanah apabila ahli parlimen yang kami pilih mengumumkan keluar dari UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas dengan beberapa alasan.

Kami rasa kami telah ditipu dan budaya yang diamalkan oleh wakil rakyat tersebut samalah seperti budaya kebanyakan pemimpin politik yang pentingkan diri sendiri.

Bayangkan perasaan orang-orang tua kita, Melayu yang sejak dulu setia dengan UMNO tetapi bila calon yang dipilih atas tiket UMNO keluar parti dan jadi wakil rakyat bebas.

Jauh di sudut hati mereka terlalu sedih bila pemimpin-pemimpin muda UMNO tidak punya sifat jati diri yang utuh. Bagi kami penduduk Melayu kawasan Parlimen Masjid Tanah, ahli parlimen yang kami pilih dan penyokongnya cuma pentingkan diri sahaja.

Perasaan pengundi tidak penting bagi mereka dan ingatlah sebagai seorang Islam akan ada balasan di hari kemudian bagi mereka yang telah melanggar amanah pengundi.

KAMARUDDIN JAAFAR

Parlimen Masjid Tanah, Melaka