Antara faktor Melaka menjadi tarikan pelancong kerana menjadi negeri tertua dan kaya dengan sejarah sejak awal penubuhannya sehinggalah kini.

Sejajar dengan hakikat itu, Melaka diisytiharkan sebagai bandar raya bersejarah pada 1989. Pengisytiharan berkenaan dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Ghafar Baba.

Kini, 27 tahun sudah berlalu sejak pengisytiharan itu.

Berdasarkan pengalaman saya melawat Melaka, didapati negeri itu berpotensi untuk dikembangkan sebagai destinasi pelancongan bajet.

Ini kerana kedudukan tempat bersejarah di Melaka berdekatan antara satu sama lain. Oleh yang demikian, pelancong boleh berjalan kaki dari satu destinasi ke destinasi seterusnya. Pelawat sudah tentu dapat mengurangkan kos pengangkutan.

Perjalanan dari satu tempat ke tempat lain sangatlah menyeronokkan kerana setiap tempat terdapat tinggalan sejarah unik yang memberi pengetahuan baharu kepada pelancong.

Satu lagi tarikan yang saya lihat adalah perkhidmatan beca bagi pelawat yang ingin merasai pengalaman menaiki kenderaan itu dengan bayaran berpatutan.

NOOR HIDAYAH 
AB. RAHMAN

Universiti Sains Islam 
Malaysia (USIM)