Lebih teruk lagi, DAP sendiri bersekongkol dengan individu yang dilihat sebagai anti raja Melayu seperti Hishamuddin Rais, Namewee dan ramai lagi.

Jika dilihat sejarah tragedi berdarah 13 Mei 1969 yang lukanya masih bernanah hingga ke hari ini, semuanya berpunca daripada sikap rasis DAP.

Kemarahan Melayu memuncak ketika itu selepas DAP memenangi majoriti kerusi di Kuala Lumpur hinggakan pemimpin dan pengikut parti bukan Melayu itu mengeluarkan kata-kata hinaan terhadap orang Melayu.

Perkara ini diakui sendiri oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak berpuluh tahun lalu dalam ceramah mereka memberitahu rakyat betapa rasisnya DAP ini.

Semestinya kedua-dua bekas pemimpin tertinggi negara itu lebih tahu kerana mereka mudah mendapat maklumat risikan daripada agensi penguat kuasa.

Kempen anti Melayu yang diperjuangkan DAP bagaimanapun gagal walaupun perjuangan itu mereka bawa sejak dari hari pertama penubuhannya. Sebab itulah hingga ke hari ini mereka gagal menembusi kawasan majoriti Melayu yang rata-ratanya masih marah dengan sikap kiasu mereka.

DAP sedar akan perkara itu. Lim Kit Siang juga sedar akan perkara itu. Malah, Anwar Ibrahim sendiri sedar akan kelemahan DAP itu. Dengan alasan itulah mereka sanggup untuk tidak menggunakan logo roket pada pilihan raya umum akan datang.

Perkara paling penting bagi mereka adalah kuasa. Mereka mahu menakluk Malaysia yang dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu. Apabila gagal, DAP perkudakan pemimpin Melayu yang lemah dan sentiasa mempunyai agenda sendiri hingga sanggup menggadai maruah bangsa.

Itulah yang mereka lakukan hari ini. Sebenarnya mereka telah pun memerintah secara proksi. Ia boleh dilihat dalam Kerajaan Negeri Selangor, walaupun di atas kertas dipimpin oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tetapi hakikatnya kita maklum siapa di belakang Menteri Besar itu.

Pada 2008 di Perak, DAP menjadikan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar boneka. Mujurlah Perak tidak lama ditadbir mereka sebelum dirampas kembali Barisan Nasional.

Begitulah hebatnya mereka. Cuba memerintah secara proksi. Mereka memberitahu kononnya tidak mahukan jawatan penting. Kononnya mereka hanya mahu selamatkan Malaysia.

Zaman penjajah dahulu, perkara sama yang diungkap British ketika mahu meletakkan wakil mereka dalam pentadbiran bumi Melayu. Kononnya mereka hanya mahu berperanan sebagai ‘penasihat’, walhal mereka mengawal kita dengan cara menjajah.

MUZAKIR MANAF

Kampung Ayer Baloi, Pontian