Bagaimanapun yang menjadi isu sekarang adalah kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebuah restoran yang agak terkenal di kawasan berkenaan.

Ini berikutan restoran tersebut tidak menjaga kebersihan. Yang menghairankan saya kedudukan restoran tersebut yang tidak berapa jauh daripada pejabat DBKL. Secara spesifiknya restoran itu terletak di atas bukit berhadapan dengan KFC.

Di hadapan restoran tersebut terdapat beberapa khemah yang digunakan oleh tuan punya sebagai tempat pembuangan dan penyimpanan barang-barang rosak dan terpakai.

Saya pernah mengunjungi restoran tersebut untuk menjamu selera dan meletakkan kenderaan berhampiran dengan khemah berkenaan. Saya mendapati khemah berkenaan telah menjadi tempat tinggal serta pembiakan tikus dan nyamuk.

Soalan saya, mengapa pihak DBKL tidak mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik restoran tersebut yang ternyata melanggar undang-undang? Pada hemat saya perbuatan pemilik restoran tersebut jelas tidak mematuhi undang-undang dan tidak sensitif dengan penjagaan alam sekitar.

Oleh itu saya berharap satu tindakan tegas diambil oleh pihak DBKL agar pemilik restoran itu segera menghormati undang-undang sekali gus bertanggungjawab menjaga kebersihan. Saya juga amat berharap pihak berkuasa janganlah ada pilih kasih dalam isu ini.