SAYA menyokong ketegasan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz kelmarin yang menyifatkan tindakan melarang pekerja wanita Islam yang bertudung bertugas di bahagian hadapan sektor perhotelan adalah perbuatan diskriminasi dan kurang ajar.

Menurut beliau, pihak yang mengamalkan polisi tersebut tidak bertanggungjawab kerana sanggup melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan bernada keras itu jelas sekali selaras dengan hakikat bahawa pihak pengurusan hotel dan masyarakat luar yang menetap atau berkunjung ke negara ini harus menghormati dasar atau Perlembagaan sedia ada dan bukannya melakukan tindakan bertentangan dengan budaya Malaysia.

Mohamed Nazri mengulas kenyataan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) baru-baru ini yang dilaporkan mempertahankan tindakan operator hotel ekoran pendedahan Maj­lis Rangkaian Kesa­tuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) bahawa pihaknya menerima aduan kakitangan hotel mengenai diskriminasi terhadap pekerja wa­nita Islam yang diarah­kan menanggalkan tudung mereka.

Bagaimanapun, setelah dikecam, MAH akhirnya mengakui bahawa polisi antarabangsa yang dimaksudkan pihaknya adalah prosedur operasi standard (SOP) pakaian seragam yang ditentukan mengikut budi bicara setiap hotel dan bukannya dasar bersifat seragam yang diguna pakai semua hotel.

Bagi saya tindakan pihak hotel berkenaan telah menghina wanita secara keseluruhannya. Ini jelas sekali tidak selaras dengan hak kesaksamaan jantina yang diperjuangkan di peringkat antarabangsa.

Kita tidak boleh berbangga kononnya telah memperjuangkan kebebasan jantina jika wanita diberi kesaksamaan untuk tidak berpakaian tetapi bagi menutup anggota badan dikatakan tidak mematuhi standard antarabangsa.

Polisi adalah rekaan manusia yang boleh diubah mengikut budaya setempat. Perlukah kita maju dengan mengikut standard yang ditetapkan oleh orang lain? Sepatutnya, kita perlu berasa bangga kerana menjadi sebuah negara yang memperjuangkan maruah dan kesaksamaan wanita.

Dalam pada itu, satu lagi persoalan yang harus dijawab oleh MAH, adakah dengan menampilkan kakitangan tidak bertudung boleh menarik lebih ramai pelancong untuk menggunakan kemudahan hotel? Jika betul pun langkah itu memberi kesan, jumlah peningkatan pelanggan amat tidak signifikan sehingga perlu dijadikan satu dasar yang seragam.

Ingatlah, pelanggan hotel turut terdiri dalam kalangan pelancong tempatan yang lebih selesa dengan persekitaran yang menonjolkan budaya setempat dan juga pelancong dari Asia Barat yang beragama Islam.

Bagi saya, adalah lebih menguntungkan untuk Malaysia memperjuangkan industri hospitaliti Islamik kerana itu adalah trend pada masa sekarang. Jika kita lihat, Jepun yang akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020 sedang giat mempersiapkan industri hospitaliti negara itu untuk menjadi lebih mesra kepada pelancong dari negara-negara Islam walaupun Islam bukan agama rasmi mereka.

Kenapa orang lain ingin menjadi seperti kita tetapi kita bersikap sebaliknya apabila terkejar-kejar untuk menjadi seperti orang lain?

MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)