Dasar ini menetapkan 90 peratus jawatan pendidik di Sabah dan Sarawak diisi oleh anak tempatan manakala selebihnya guru dari Semenanjung.

Sejak dasar itu diperkenalkan, tiada lagi guru baharu dari Semenanjung yang dihantar mengajar di Sabah dan Sarawak tetapi pada masa sama guru dari Semenanjung yang telah lama berkhidmat di kedua-dua negeri itu sukar untuk berpindah balik kerana tiada kekosongan jawatan.

Pergerakan masuk hanya melibatkan guru baharu dari Sabah dan Sarawak yang dihantar mengajar di negeri asal mereka.

Apabila permohonan untuk berpindah tidak berjaya, situasi ini memberi banyak implikasi negatif kepada guru dari Semenanjung tersebut. Selain harga tiket kapal terbang yang sangat tinggi terutamanya pada musim perayaan, guru tersebut menghadapi kesukaran untuk balik ke Semenanjung disebabkan masalah pengangkutan dan talian telefon yang terhad. Sudah ada kes kecemasan seperti orang tersayang meninggal dunia dan guru tersebut hanya tiba ke kampung selepas upacara pengebumian disebabkan faktor jarak ini.

Di samping itu, sekiranya kerajaan berhasrat untuk melakukan penjimatan, caranya adalah dengan memindahkan kami balik. Kerajaan tidak perlu lagi membayar elaun wilayah dan waran perjalanan yang kami peroleh sekali dalam setahun pada masa ini.

Sehubungan itu, saya mencadangkan dasar 90:10 ini dimansuhkan kerana ternyata Kementerian Pendidikan tidak bersedia untuk melaksanakannya. Kembalikan dasar penghantaran guru baharu dari Semenanjung agar mereka dapat menimba pengalaman tidak ternilai di Sabah dan Sarawak serta pada masa guru dari Semenanjung yang telah lama berkhidmat dibenar pulang untuk berbakti di negeri kelahiran sendiri. Saya juga berharap Kementerian Pendidikan dapat memperbaiki Sistem Permohonan Pertukaran Guru (EGtukar) yang terlalu banyak kelemahan.

Dalam pada itu, sesi perpindahan guru perlu dibuka dengan lebih kerap menjadi tiga kali setahun bagi sekolah menengah dan empat kali setahun untuk sekolah rendah supaya lebih ramai pemohon berpeluang untuk berpindah tanpa menunggu satu tempoh yang lama dan tidak pasti.

Saya juga berharap pihak kementerian dapat memberi perhatian kepada guru bujang yang sudah cukup tempoh perkhidmatan dan ingin pulang berkhidmat di negeri kelahiran.

MUHAMMAD 
SOFUAN SAADON

Matu, Sarawak