Saya ingin memberikan pandangan bukan sahaja untuk menaikkan taraf pembelajaran persekolahan kita tetapi pusat pengajian tinggi juga perlu diambil perhatian sewajarnya.

Pertama sekali, hidupkan kembali penulisan dan bacaan jawi di sekolah-sekolah. Kedua, wujudkan semula sekolah aliran Inggeris sama ada di sekolah rendah ataupun menengah.

Ketiga, kurangkan mata pelajaran akademik dan sebaliknya tumpukan pengajian di bidang teknikal, pertanian, sains dan teknologi, sekolah sukan dan lebihkan pendidikan secara praktikal daripada pelajaran lisan di bilik darjah.

Kita mahu pelajar menjadi lebih berdisiplin, lebih bertanggungjawab dan tidak berat tulang yang mendorong seseorang itu menjadi malas dan tidak aktif sebagaimana yang diharapkan.

Seterusnya, kembalikan biasiswa untuk pelajar cemerlang melanjutkan pengajian ke luar negara dalam bidang-bidang kritikal seperti kejuruteraan dan perubatan.

Saya juga ingin syorkan untuk kemasukan daftar darjah satu diawalkan setahun iaitu bermula umur 6 tahun dan apabila masuk ke sekolah menengah tidak perlu sampai lima tahun, memadai hanya empat tahun sahaja sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

RAKYAT PRIHATIN