Ini termasuk arahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 4 Julai lalu supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan pelbagai kaedah seperti mengadakan sekatan di lorong-lorong digunakan penyeludup di sempadan Thailand-Kelantan.

Bagi saya arahan itu adalah satu kemenangan kepada penganjur Forum Jihad Memerangi Dadah yang diadakan di Dewan Besar Utusan Melayu (M) Berhad di Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu.

Ini kerana ketika forum itu, salah satu fakta mengejutkan yang didedahkan adalah dadah paling popular digunakan sekarang adalah jenis syabu (methamphetamine) iaitu dadah buatan manusia yang mengandungi kimia berbahaya.

Syabu jika digunakan dalam tempoh lama akan merosakkan otak dan antara kesan jangka pendek adalah hiperaktif, kuat bercakap, gelisah, syak wasangka tanpa sebab dan mudah bertindak ganas.

Majoriti penagih syabu ini adalah orang Melayu Islam. Kesan daripada penagihan dadah itu turut me­ngakibatkan berlakunya pelbagai kes jenayah lain seperti pembunuhan, samun, rompak, rogol dan banyak lagi.

Langkah menyekat pil kuda akan membantu mengurangkan penagihan syabu disebabkan mereka yang terjebak dengan dadah jenis itu biasanya akan turut terlibat menagih methamphetamine yang lebih senang diperoleh.

Ini kerana kedua-dua dadah berkenaan mempunyai kesan hampir sama termasuk memberi tenaga dan kekuatan tambahan serta menyebabkan seseorang itu menjadi lebih berani dan agresif.

Kenyataan terbaharu Ahmad Zahid itu adalah susulan kepada jaminan diberikan beliau sehari selepas forum berkenaan bahawa kerajaan akan terus mempertingkatkan langkah-langkah komprehensif bagi memerangi najis dadah menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai agensi.

Antara langkah disebut Ahmad Zahid adalah pembahagian tugas secara jelas dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melakukan penguatkuasaan terhadap pengedar dan juga pembuat dadah sintetik manakala Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) membuat tangkapan serta pemulihan terhadap penagih.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pula menguatkuasakan larangan kemasukan dadah di pintu-pintu masuk negara dan Jabatan Kimia bertanggungjawab membantu pihak pendakwaan di mahkamah.

Bagaimanapun, saya berpendapat, kerjasama melibatkan agensi kerajaan sahaja tidak mencukupi sebaliknya perlu sokongan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat kerana masalah penagihan dadah dikatakan sudah menular melibatkan kanak-kanak.

Saya cukup terganggu dengan satu kejadian didedahkan polis pada hari sama forum itu diadakan mengenai seorang wanita di Kedah yang dikatakan sanggup membiarkan teman lelakinya memberikan paip disyaki mengandungi syabu kepada anaknya berusia tiga tahun sehingga khayal dan merakam perbuatan itu semata-mata untuk menyakitkan hati bekas suami.

Sehubungan itu, saya berharap Pelan Strategik Dasar Dadah Negara yang sedang digubal kerajaan turut memasukkan elemen penglibatan NGO dan orang ramai.

Eloklah konsep Pertahanan Menyeluruh (Hanruh) yang diperkenalkan sejak 1986 bagi mempertahankan negara dari serangan tentera asing diperluaskan melibatkan dadah.

Menerusi konsep itu, musuh yang menyerang bukan sahaja terpaksa berdepan dengan anggota tentera tetapi perlu melawan lebih 30 juta rakyat Malaysia.

Saya juga berharap dipercepatkan pelbagai cadangan baharu yang dibuat sebelum ini seperti penubuhan makmal khas untuk menguji dadah dengan cepat dan mahkamah khusus bagi membicarakan pesalah dadah dengan pantas.

Pendidikan dan pencegahan di peringkat sekolah adalah satu elemen penting yang tidak harus diabaikan. Sehubungan itu, kandungan terkini mengenai bahaya dadah perlu dimasukkan dalam mana-mana mata pelajaran di sekolah.

PENSYARAH MUDA

Gombak, Selangor