Dalam memastikan masalah ini dapat diatasi bersama, ibu bapa serta masyarakat perlu bertindak aktif sebelum menjadi kian parah. Ibu bapa seharusnya memantau semua aktiviti anak mereka. Sibuk bekerja tidak boleh dijadikan alasan untuk kita leka terhadap aktiviti harian anak-anak.

Ibu bapa juga perlu mengetahui dengan siapa anak-anak mereka berkawan kerana kawan merupakan pengaruh terbesar berbanding ibu bapa. Kajian juga menunjukkan kebanyakan penagih muda wujud disebabkan pengaruh rakan sebaya. Selidik latar belakang rakan anak-anak dan kenali siapa ibu bapa mereka. Ini supaya masing-masing ada rasa tanggungjawab untuk saling memantau gerak-geri anak masing-masing serta berhak menegur jika mereka melakukan kesalahan.

Masyarakat juga perlu berganding bahu dalam membanteras penagihan dadah. Tiada lagi istilah ‘jangan jaga tepi kain orang’ kerana pada hari ini masyarakat harus mengetahui masalah yang berlaku dalam komuniti dan berhak menegur serta membuat tindakan sewajarnya.

MUHAMMAD HELMI IBRAHIM
Kaunselor berdaftar