Memang saya menyokong cuti khas untuk golongan bapa menguruskan isteri dan anak tetapi kebiasaannya cukup untuk satu atau dua minggu.

Berdasarkan pengalaman peribadi, majikan saya memberi cuti tiga hari untuk menyambut kelahiran anak (tidak termasuk cuti rehat dan cuti umum) dan ini masa yang cukup memandangkan tiga hari pertama adalah paling kritikal bagi menguruskan isteri dan anak balik ke rumah di samping menyediakan keperluan dan kemudahan lain.

Ibu yang baru melahirkan anak wajar diberi cuti sehingga 90 hari memandangkan badan mereka memerlukan tempoh untuk pulih daripada kesan fizikal membawa seorang manusia ke dunia.

Golongan bapa cuma memerlukan cuti untuk menguruskan keperluan isteri dan bayi pada peringkat awal sementara selebihnya akan dibantu ahli keluarga ataupun boleh mengupah pihak luar membantu malah boleh sahaja mengambil cuti tambahan.

Peruntukan cuti sebulan untuk bapa mungkin sesuai untuk kes tertentu seperti pasangan yang hidup sebatang kara, contohnya kedua-dua ibu dan bapa adalah anak yatim dan tiada adik beradik atau saudara-mara yang tinggal berdekatan.

Begitu juga bagi suami yang isteri atau anaknya berdepan masalah kesihatan selepas proses bersalin. Jika kelahiran normal, cukuplah cuti bapa sekadar satu atau dua minggu.

BAPA MITHALI

Kuala Lumpur