Terlalu kerap mangsa kemalangan jalan raya menjadi mangsa rompakan apabila orang yang kononnya mahu membantu, mengambil kesempatan mencuri dompet, telefon bimbit dan barang berharga milik mangsa.

Baru-baru ini seorang rakan saya kemalangan selepas tayar motosikalnya pancit. Dalam keadaan tidak sedar, ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mencuri beg dan telefon bimbit miliknya.

Sebelum ini, seorang jiran saya kemalangan sehingga keretanya remuk dan dia sendiri cedera parah. Dalam keadaan separuh sedar, dia melihat sendiri beberapa orang menyelongkar keretanya mencuri barang berharga ketika orang ramai cuba membantu mengeluarkannya dari kereta tersebut.

Dalam berita kita sering mendengar kemalangan kenderaan membawa wang, sama ada wang kertas atau syiling, diserbu orang ramai yang mengutip dan menyimpan wang tersebut.

Begitu juga bila lori beras, buah mahupun lori membawa barang basah, semuanya habis ‘disapu’ orang ramai yang sanggup berhenti mengambil ‘barang percuma’.

Mereka yang melakukan perkara terkutuk ini tidak ramai tetapi cukup untuk menjejaskan mangsa kemalangan.

Pihak berkuasa perlu mengetatkan penguatkuasaan dan perundangan dalam hal mencuri ‘bahan bukti’.

Jika orang ramai dibiarkan ‘percaya’ apa sahaja yang ‘tumpah’ di jalan raya adalah barang percuma yang boleh diambil sesuka hati, sikap serupa akan dibawa ke dalam perihal kerja dan kehidupan kelak.

Tangani sebelum parah, cegah kecurian barang mangsa kemalangan.

RIDER KENTAL

Kuala Lumpur