Anggota bomba itu, Muhammad Adib Mohd. Kassim dan pasukannya diserang hanya kerana mahu menjalankan tugas menyelamat dan memadam kebakaran. Jentera bomba turut dirosakkan dengan senjata berbahaya.

Kini anak muda ini terpaksa bertarung nyawa di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur sementara ahli keluarga dan rakan-rakannya menanggung penderitaan.

Seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum berdoa agar beliau cepat sembuh dan kembali bahagia bersama keluarganya nanti.

Manusia yang menggunakan akal fikiran tidak akan melakukan perbuatan terkutuk sebegitu. Mereka langsung tiada perikemanusiaan terhadap insan lain dan tidak menghormati undang-undang.

Mereka adalah penjenayah yang hanya layak meringkuk di dalam penjara dan tidak layak tinggal dalam kalangan rakyat yang cintakan keamanan.

Justeru, pihak berkuasa perlu bertindak lebih tegas dan tidak perlu keterlaluan berdiplomasi atau bertolak-ansur terhadap isu-isu seumpama ini.

Rakyat Malaysia yang cintakan keamanan akan sentiasa menyokong tindakan pihak berkuasa. Rakyat berharap supaya pihak berkuasa dapat menangkap dan membawa penjenayah ini ke muka pengadilan.

Pada masa sama, ahli politik perlu berhati-hati dan bertindak matang semasa mengeluarkan kenyataan.

Jangan cepat menuding jari terhadap pihak berkuasa serta menjadikan isu ini untuk meraih populariti murahan. Ini bukan masa untuk menjadi jaguh kaum tertentu. Hargailah kehidupan dan keamanan.

SUBRA

Padang Serai