Himpunan yang sebahagian besarnya dihadiri golongan bumiputera itu berjalan dengan aman dan sangat harmoni, malah aktiviti solat secara berjemaah juga dilakukan semasa perhimpunan.

Sampah sarap juga dikutip oleh peserta bagi membolehkan segala kemudahan awam dapat digunakan seperti biasa selepas itu. Ini menunjukkan perhimpunan berkenaan diadakan secara bertamadun, beradab dan bukannya berniat untuk mengundang rasa gelisah kaum lain seperti mana yang digembar-gemburkan oleh beberapa pihak. Kita patut ucapkan tahniah kepada peserta perhimpunan aman itu.

Namun, terdapat satu lagi perjanjian antarabangsa yang mungkin mengundang bahaya lebih besar kepada kedudukan istimewa bumiputera berbanding ICERD. Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) adalah satu perjanjian perdagangan bebas yang melibatkan 11 negara termasuk Malaysia.

Negara-negara lain yang mengambil bahagian dalam perjanjian itu ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

CPTPP harus melalui proses yang sama seperti ICERD iaitu hendaklah diratifikasi dahulu sebelum boleh dikuatkuasakan. Malah terdapat beberapa pihak sedang giat melobi kerajaan secara diam-diam untuk meratifikasi perjanjian itu atas kepentingan mengembangkan ideologi mereka daripada memikirkan kesan buruknya terhadap perkembangan sosioekonomi Malaysia dan golongan bumiputera.

Mengapa CPTPP lebih berbahaya daripada ICERD? Ini kerana ia membenarkan pelabur asing mendapatkan peluang perniagaan yang sama rata dengan usahawan tempatan. Ini jelas akan memberi impak terhadap keharmonian dan perkembangan sosioekonomi negara.

Harus diingatkan bahawa dasar kerajaan yang sedia ada dibuat untuk mengurangkan jurang kekayaan antara bumiputera dan bukan bumiputera. CPTPP tidak mengambil kira perkara ini dan pelabur asing akan sedaya upaya mendapatkan kontrak kerajaan yang diperuntukkan untuk bumiputera agar dapat meningkatkan lagi keuntungan syarikat mereka.

Perkara kedua yang sangat berbahaya mengenai CPTPP adalah mekanisme investor-state dispute settlement (ISDS) yang membenarkan pelabur asing menyaman kerajaan Malaysia di mahkamah antarabangsa sekiranya membuat polisi yang tidak menyebelahi pelabur asing.

Polisi yang dibentuk kerajaan adalah bukan untuk menggalakkan pelaburan sahaja tetapi juga mengambil kira pembangunan sosioekonomi negara yang masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum. Walaupun terdapat ancaman oleh ICERD, namun ancaman oleh CPTPP jauh lebih besar kerana mekanisme ISDS tidak terkandung di dalam ICERD dan impak ISDS boleh meruntuhkan perpaduan kaum dan menggugat keharmonian negara.

Berdasarkan data yang dikumpul Pelaburan Dunia Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), daripada 493 kes yang dibawa ke ISDS, hanya 26 peratus yang memihak kepada negara berdaulat dan 74 peratus kepada pelabur antarabangsa. Realiti ini akan menyebabkan mana-mana negara berdaulat takut untuk menggubal undang-undang dan melaksanakan dasar yang mungkin tidak selari dengan kepentingan pelabur asing.

Malah, ini juga hampir berlaku di dalam kes melibatkan kilang memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd. (Lynas) di Gebeng, Kuantan apabila terdapat ura-ura syarikat itu ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia disebabkan beberapa syarat tambahan yang dikenakan oleh kerajaan.

Tindakan kerajaan ini sudah semestinya akan menyekat keuntungan syarikat itu dan mengikut prosedur kebiasaan ISDS, perkara sebegini hendaklah dirujuk kepada mahkamah timbang tara antarabangsa yang keputusan akan biasanya menyebelahi pelabur. Namun disebabkan Malaysia belum meratifikasi CPTPP, sebarang pertelingkahan antara kerajaan dan Lynas hanya boleh dirujuk kepada sistem perundangan Malaysia yang lebih telus dan adil.

Isu-isu sebeginilah adalah cara halus pihak asing yang ingin mencabar kedudukan orang Melayu yang sedia termaktub di dalam perlembagaan dengan menjadikan perjanjian perdagangan bebas sebagai taktik untuk melakukannya.

Sekiranya diratifikasi, kerajaan terpaksa menukar undang-udang di dalam negara untuk memastikannya ianya selari dengan tuntutan CPTPP dan sekiranya ditukar atas kehendak pelabur asing, kedudukan ekonomi golongan bumiputera akan terus ditekan dan terancam. Kesannya akan lebih teruk berbanding dengan ICERD kerana CPTPP adalah jelas mengganggu dasar kerajaan yang dibina untuk melindungi perpaduan kaum dan kesejahteraan sosioekonomi negara.

MOHD. EFFUAN ASWADI ABDUL WAHAB

Felo Majlis Tindakan 
Ekonomi Melayu (MTEM)