Ketika kita sering disajikan dengan pelbagai kisah penganiayaan haiwan, termasuk anjing dan kucing terbiar, kemuliaan hati wanita berkenaan amat saya kagumi.

Menurut laporan akhbar, peniaga wanita berusia 44 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Ziezie telah menyaksikan seekor anjing dilanggar kira-kira pukul 1 pagi di Alor Gajah, ketika dia sedang dalam perjalanan untuk menjamu selera.

Keesokan harinya, Ziezie telah pergi semula ke tempat kejadian dan mendapati anjing berkenaan terbaring kesakitan sambil ditemani seekor anaknya. Dia lantas memanggil tiga rakannya untuk menyelamatkan anjing yang cedera itu dan membawanya untuk dirawat di sebuah klinik di Melaka.

Walaupun beragama Islam, Ziezie dan rakan-rakannya tidak menjadikan hukum agama sebagai alasan untuk tidak menyelamatkan anjing yang cedera itu.

Saya percaya semua agama, termasuk Islam, menggalakkan penganutnya supaya menunjukkan belas ihsan kepada haiwan dan melayani mereka dengan kasih sayang. Tindakan Ziezie sebenarnya turut disokong oleh ramai warga media sosial.

Saya difahamkan walaupun ramai ulama tidak menggalakkan orang Islam menyentuh anjing, terutamanya jika bulu haiwan itu basah, namun mereka membenarkan umat Islam berbuat demikian demi untuk menyelamatkan haiwan itu.

Seperti yang dikatakan oleh Ziezie, apa yang menjadi keutamaan pada masa itu adalah untuk menyelamatkan haiwan berkenaan dan dia boleh membersihkan diri selepas itu.

Saya harap lebih ramai rakyat Malaysia daripada pelbagai agama dan kaum akan mencontohi sikap mulia Ziezie yang sanggup menolong haiwan yang tercedera akibat dilanggar, termasuk anjing dan kucing terbiar.

Saya amat sedih apabila melihat gambar ngeri haiwan yang cedera teruk selepas dilanggar, termasuk haiwan liar, terbaring kesakitan di tepi jalan raya tanpa ada insan yang sudi menolong.

Hanya sifat penyayang yang mampu mendorong orang ramai melakukan apa yang Ziezie dan rakan-rakannya telah buat.

Kita semua tahu haiwan tidak mampu berkata-kata apabila dianiaya atau dicederakan. Binatang berkenaan sememangnya memerlukan bantuan daripada manusia yang prihatin.

TAN SRI LEE LAM THYE

Penaung Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor