Bayangkan sekotak rokok dijual antara RM14 hingga RM18. Lazimnya, rata-rata perokok akan menghisap sekurang-kurangnya dua kotak rokok sehari dan dianggarkan mereka membelanjakan tidak kurang RM900 sebulan!

Pada saya itu satu jumlah yang agak besar bagi seorang ketua keluarga untuk membelanjakan sebahagian wang gaji yang dikongsi untuk menyara keluarganya. Semakin harga rokok naik, semakin kurang bajet untuk perbelanjaan keluarga. Pada akhirnya, keperluan sara hidup keluarga terjejas dek kerana kedegilan mereka untuk terus merokok.

Hakikatnya, semua usaha dilakukan kerajaan untuk mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan masyarakat itu menjadi sia-sia. Justeru, saya mencadangkan agar harga rokok diturunkan kembali kepada harga minimum kerana tidak ada gunanya menaikkan harga rokok berlipat kali ganda jika perokok tegar tidak pernah insaf untuk berhenti merokok.

Bukan mahu menggalakkan perokok, tetapi langkah tersebut adalah untuk meringankan beban ‘penderitaan’ keluarga perokok itu sendiri daripada berdepan dengan catuan wang sara hidup mereka kelak.

Kerajaan juga boleh mencontohi pendekatan Singapura yang hanya membenarkan penjualan rokok mengandungi terlalu sedikit narkotin bagi memberi ketidakselesaan kepada perokok kerana rasanya yang sangat payau. Difahamkan langkah itu berkesan apabila 98 peratus rakyat negara jiran itu tidak lagi merokok.

SYED ABDULLAH 
SYED OSMAN JAMALULLAIL

Yang Dipertua Keluarga Jamalullail Perak