KHALID SALLEH

Saya mengenali Khalid sejak usia remaja. Kenal biasa-biasa saja, tidak begitu akrab. Manakala Pak Ngah dan Saleem saya kenal melalui akhbar dan media massa atas kecemerlangan mereka selaku seorang komposer dan pencipta lagu tersohor.

Kesemua insan ini ada keistimewaan tersendiri. Mereka boleh diibaratkan ‘permata negara’. Khalid tidak ada tandingannya dalam seni persembahan baik teater, drama dan filem. Pak Ngah pula tiada saingan dalam seni muzik dan penciptaan lagu (terutama lagu patriotik).

Sementara Saleem tidak ada siapa yang mampu mencabarnya dalam bidang seni suara. Tulisan ini mahu lebih fokus kepada Khalid, walaupun agak terlewat tapi saya rasa tidak salah.

Terlebih dahulu saya memohon maaf kepada ahli keluarga Allahyarham sekiranya tulisan ini mengembalikan kesedihan dan kehibaan.

Saya mula mengenali Khalid apabila berkunjung ke rumah Anak Alam bersama Ruslan Madun pada awal 1980-an bagi mengikuti acara bacaan puisi. Ketika kami sampai, kebetulan Khalid sudah mahu keluar.

Sambil berdiri di hadapan pintu, kata Khalid, “Masuklah, tiada sesiapa di dalam. Dah makan? Sini takda makanan. Kalau tidur pasang lampu, nyamuk banyak.” Lantas beliau beredar.

Itulah ‘dialog’ Khalid pertama kali bertemu. Kata Ruslan, “Abang Khalid memang begitu. Tak banyak cakap. Banyak fikir.”

Tapi intonasi itu terpahat di sanubari. Setiap kali Khalid berdialog, terutama pementasan teater, intonasi itu tetap dibawa bersamanya. Itulah keistimewaan Khalid.

Semasa penggambaran drama Air Pasang di Kuantan pada hujung 1980-an, kami bersama kru penggambaran menjamu selera di sebuah gerai. Bersama kami ada seorang rakan kerja beperwatakan warak, ‘berbahas’ dengan Khalid mengenai penggunaan tangan kiri dan kanan semata-mata kerana mahu menegur saya (yang kidal), makan dengan tangan kiri.

Kata Khalid, “Tak apalah. Tuhan jadikan kedua tangan itu ada gunanya.” Tapi rakan yang ‘warak’ itu beria-ia mempertahankan hujahnya. Perbahasan jadi sedikit panas. Keluar segala dalil.

Kata Khalid, “Kalau tangan kiri itu hina, takbir solat angkatlah sebelah tangan aje, tangan kanan.” Perbahasan terhenti setakat itu. Kawan yang ‘warak’ itu segera beredar tanpa berjabat tangan.

Kesimpulan dari ‘episod’ itu, dalam menjalani kehidupan ini, kita tidak perlu bercakap banyak, tapi banyakkan berfikir dan bekerja. Barangkali inilah amalan contoh Allahyarham Khalid sehingga beliau menjadi insan hebat.

NAZRI SHAM

Chenor, Pahang