Memetik laporan TEMPO.CO, Jakarta, Alena yang dianggap Lionel Messi baru dan hanya berusia 18 tahun pada Januari lalu telah diberi tanggungjawab memperkuatkan skuad muda Barcelona dalam perlawanan Liga Eropah U-18, dan setakat ini sudah menjaringkan enam gol dalam lapan perlawanan disertainya.

Bagi yang mempunyai ilmu sains sukan pasti menganggap rutin latihan pelajar akademi itu sama seperti sekolah sukan lain di dunia, antaranya sejumlah masa besar dihabiskan untuk latihan sukan, sebaliknya latihan berkualiti mengambil masa tidak melebihi dua jam!

Sesebuah akademi perlu ada falsafah kecemerlangan yang mudah dan berkesan seperti ‘Memberi tekanan, mengekalkan pemilikan dan menyerang’. Memetik Folgera, pengarah akademi Barcelona, berkata:

“Kami sentiasa mencari pemain yang bukan fizikal tetapi seorang pemikir yang sangat baik, bijak membuat keputusan, mempunyai bakat serta ada teknik dan ketangkasan. Kekuatan fizikal tidak penting”. Paling utama, pemain harus diterapkan dengan nilai-nilai menyukai permainan, dan bukan kemenangan mutlak.

Di akademi, mereka memberi tumpuan pendekatan holistik, dan bukan hanya bermain bola sepak. Malah, agak mengejutkan apabila mendapati pemain muda yang tinggal di La Masia hanya bermain bola sepak selama dua jam setiap hari. Sebaliknya, penekanan adalah lebih kepada kerja-kerja sekolah dan kelas tambahan dengan tutor di La Masia.

Dengan cara itu, mana-mana pelajar yang gagal menjadi pemain bola sepak profesional masih boleh melanjutkan pengajian di universiti atau mencari pekerjaan lain. Di La Masia, mereka mengutamakan disiplin. Falsafah penting mereka adalah melayan semua orang sama rata. Ini kerana mereka percaya setiap pelajar boleh menjadi pemain utama pada masa depan.

AZIZI AHMAD

Segambut Luar, Kuala Lumpur