ISU filem seram pernah menjadi polemik dan mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila beliau menyifatkan lambakan cerita hantu yang ditayangkan di televisyen dan menerusi filem ketika ini boleh menggalakkan kepercayaan karut yang tidak membantu membina masyarakat berproduktif.

Pada satu peringkat, lambakan cerita hantu berasaskan mitos banyak menyumbang kepada serangan histeria dalam kalangan pelajar perempuan Melayu.

Baru-baru ini, sebuah sekolah di Kelantan menjadi viral apabila terpaksa ditutup dan mendapat cuti peristiwa kerana berlaku kejadian histeria.

Kejadian itu dipercayai bermula selepas ada pelajar mendakwa melihat hantu pocong di dalam sebuah kelas kosong.

Pada hemat saya, walaupun bukan semua filem hantu membawa keburukan, hakikatnya keburukan itu lebih banyak daripada kebaikan.

Bukti yang ada di sekeliling menunjukkan kesan segala tahyul-mahyul cerita hantu telah mempengaruhi akidah dan persepsi masyarakat.

Perlu ingat, selain kekuasaan Allah SWT, hukum mempercayai adanya khurafat, keramat, tahyul dan budaya karut adalah syirik lebih-lebih lagi jika menganggap perkara-perkara itu boleh mendatangkan manfaat.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain daripada Allah, yang tidak mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian maka jadilah engkau orang yang berlaku zalim.” - surah Yunus ayat 106.

NOR AMILINA ISMAIL

Jeli, Kelantan