Wan Hamidi adalah bekas Ketua Editor akhbar DAP iaitu The Rocket dan kini Timbalan Pengarah institusi pemikir DAP iaitu Research for Social Advancement (Refsa).

Beliau dikatakan bakal menerajui Bernama, selepas persaraan Datuk Zulkefli Salleh pada Oktober ini.

Kami menegaskan pelantikan dalam kalangan orang politik yang mempunyai kepentingan langsung dengan parti politik adalah tidak wajar dan tidak melambangkan neutraliti yang seharusnya dimilliki oleh seorang ketua media berita seperti Bernama.

Kami membantah cadangan untuk melantik individu yang memegang jawatan dan berkait secara langsung dengan parti politik. Parti politik tidak sepatutnya menerajui agensi berita awam. Bukan sahaja ia akan mencemar imej dan membina persepsi negatif rakyat terhadap agensi tersebut, malah boleh mengundang isu salah guna kuasa dan kemudahan oleh parti politik.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sering mengangkat isu kebebasan media dan mahukan media yang tidak dipengaruhi oleh parti politik. Soalnya kenapa kali ini pendirian itu berubah?

Adakah menteri berkenaan menunjukkan ada perubahan pendirian demi memenuhi agenda politik kepartian dalam agensi awam seperti Bernama?

Kami berpendirian bahawa nuetraliti media awam sangat perlu dipertahankan. Jika kerajaan terdahulu sering didakwa menyalahgunakan media awam untuk kepentingan parti politik pihak yang memerintah, kenapa sekarang hal yang sama mahu dilakukan oleh kerajaan baharu.

Kami berpendapat CEO Bernama harus dilantik dalam kalangan golongan yang bebas daripada parti politik. Kakitangan senior dalam Bernama yang berpengelaman dan berkelayakan boleh menjadi pilihan. Mereka yang sudah lama bertugas dengan Bernama boleh menjalankan tanggungjawab secara bebas daripada pengaruh parti politik.

Kami kesal kebelakangan ini ada pelantikan politik untuk agensi awam yang dilakukan oleh kerajaan PH yang tidak selari dengan slogan mengasingkan parti politik daripada pentadbiran agensi-agensi awam yang penting.

PH harus menjaga sensitiviti awam dalam semua pelantikan agensi-agensi yang berkaitan dengan kerajaan. Kewibawaan kerajaan akan dipersoalkan rakyat kerana prinsip media awam yang bebas daripada parti politik dilihat tidak menjadi agenda kerajaan PH.

Kami mengesa supaya cadangan pelantikan Wan Hamidi ditarik balik dan calon yang tidak daripada parti politik dipilih.

MOHD. AZMI ABDUL HAMID

Presiden Majlis Perundingan 
Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim)

Disokong:

Teras Pengupayaan Melayu

Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia

Yayasan Pendidikan Orang Asli

Persatuan Peduli Dhuaafa dan Pengupayaan Masyarakat