Semuanya ini adalah disebabkan tabiat buruk segelintir penghuni di PPR itu yang bertindak membuang sampah sesuka hati tanpa menghiraukan keselesaan malah keselamatan orang lain.

Perasaan ini bertambah sakit apabila jaring yang dipasang di PPR berkenaan penuh dengan sampah-sarap walaupun baru beberapa hari dipasang. Penghuni di PPR tersebut seolah-olah tidak mendapat apa-apa pengajaran daripada musibah yang berlaku itu.

Apa yang dapat saya simpulkan, sikap buruk membuang sampah melalui tingkap dan bukan di tong sampah telah sebati dengan penduduk di situ. Mahu tidak mahu pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas supaya sikap buruk tersebut boleh diatasi.

Satu cara yang mungkin boleh dibuat adalah dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) agar perbuatan buruk penduduk di PPR ini dapat dipantau dengan lebih berkesan. Jika dapat dikesan, mereka yang melakukan sedemikian mesti didenda sekurang-kurangnya RM500 bagi setiap kesalahan.

Bagi pesalah yang mengulangi perbuatan sama, mereka dikehendaki melakukan kerja-kerja pembersihan di bawah pemantauan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan atau pihak penjara selain denda. Untuk kes yang lebih serius, mereka ini hendaklah disenaraihitam daripada menghuni rumah PPRT.

Seperti pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di lebuh raya, selepas beberapa bulan diperkenalkan, majoriti kenderaan akan memperlahankan pemanduan apabila tiba di zon berkaitan. Dari sudut ini, pemantauan CCTV dilihat lebih berkesan untuk mengawal tabiat manusia.

Untuk jangka masa panjang, kanak-kanak yang tinggal di situ serta semua kanak-kanak di negara ini hendaklah dilatih secara konsisten dan penuh kasih-sayang untuk membuang sampah di tempat yang betul. Adalah diharapkan dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang, tiada lagi kejadian sampah dibuang melalui tingkap sama ada tingkap rumah atau tingkap kenderaan.

RAKYAT PRIHATIN

Kuala Lumpur